Sarawak pertahan tindakan sekat Sivarasa
KUCHING 15 Feb. - Kerajaan negeri mempertahankan tindakannya melarang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada memasuki negeri ini yang dilakukan atas sebab keselamatan rakyat.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri berhak melarang sesiapa sahaja yang dikatakan boleh mendatangkan ancaman kepada Sarawak.
''Kerajaan negeri mempunyai alasan yang kukuh untuk tidak membenarkan mereka memasuki Sarawak terutamanya daripada segi aspek keselamatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, seorang lagi pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu R. Sivarasa dilarang daripada memasuki negeri itu.
Sivarasa yang menaiki penerbangan Air Asia AK5206 dari Kuala Lumpur, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kira-kira pukul 1.30 petang sebelum ditahan di balai ketibaan pemeriksaan Imigresen.
Difahamkan, Sivarasa datang ke Sarawak untuk bertemu dengan pemimpin PKR negeri.
Ia merupakan kejadian kedua dalam tempoh dua bulan selepas Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrisnan juga dari parti yang sama dilarang daripada memasuki negeri ini, Disember lalu.
Daud memberitahu, kerajaan negeri telah menyerahkan senarai beberapa individu kepada Jabatan Imigresen Sarawak untuk melarang mereka daripada memasuki negeri ini.
Beliau menjelaskan, Sarawak merupakan sebuah negeri yang aman dan mempunyai banyak masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
''Kehadiran sesetengah individu itu mungkin boleh mengganggu sensitiviti rakyat Sarawak yang secara tidak langsung mengancam keselamatan negeri.
''Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, kerajaan negeri memutuskan tidak membenarkan beberapa individu daripada memasuki negeri ini," ujarnya.
Bagaimanapun jelasnya, kerajaan negeri mungkin membenarkan mereka untuk memasuki semula negeri ini sekiranya didapati tidak lagi memberi ancaman kepada keselamatan rakyat Sarawak.
Terdahulu, beliau menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Pinang Jawa di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) di sini. - Utusan
No comments:
Post a Comment