![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9uCirHPKm_prU7b25q16er6uSmi8oU2dr1kTzCm_OAaJhtmZVAdiS_kZ_iMKX5V6X_qmopc5_A39HC3sE-_BoO6dTTO32BT0LIYEBsTojeXoDkoOoxFDjPPv129QXkczPBum6Q44Ylcs/s400/Untitled.jpg)
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, penutupan plaza tol itu bermakna kutipan tol juga akan dihentikan bagi memberi kemudahan laluan bebas tol kepada pengguna.
‘‘Langkah kerajaan bertujuan meringankan bebanan pengguna NPE terutamanya penduduk Kampung Medan dan Kampung Dato’ Harun yang perlu membayar tol sebanyak RM1.60 setiap kali melalui Plaza Tol PJS 2 ini semasa berulang-alik dari rumah ke tempat kerja sejak April 2004.
‘‘Dianggarkan sebanyak 30,000 penduduk Kampung Medan dan Kampung Dato’ Harun, Taman Maju Jaya serta kawasan sekitar Petaling Jaya Selatan 1 dan 2 akan mendapat faedah hasil keputusan kerajaan tersebut,’’ katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pemansuhan Kutipan Tol di Plaza Tol PJS 2 (arah Kuala Lumpur) NPE di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Syed Jamal Syed Jaafar dan Pengerusi New Pantai Expressway Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Ali Abd. Samad.
Plaza Tol PJS 2 di NPE berhampiran Kampung Medan dan Kampung Dato’ Harun menjadi isu terutama kalangan penduduk Taman Medan yang terpaksa membayar tol sebanyak RM1.60 setiap kali memasuki Kampung Medan.
Keadaan ini berlaku kerana tiada jalan alternatif disebabkan pertukaran konfigurasi lalu lintas daripada tiga fasa kepada dua fasa di persimpangan bertingkat Motorola.
Ia mengakibatkan pengguna dari arah Kelana Jaya tidak dibenarkan terus ke arah Bandar Sunway atau Jalan Klang Lama untuk ke Taman Medan.
Pengguna terpaksa melalui Sungai Way Ramp dan membayar tol di Plaza Tol PJS 2 sebelum membuat pusingan di Taman Maju Jaya.
Malah, sebahagian penduduk terpaksa membayar tol sebanyak dua kali bagi menggunakan laluan untuk ke jalan PJS 2.
Mohd. Zin berkata, langkah menutup Plaza Tol PJS 2 membuktikan keprihatinan serta komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.
Sementara itu, keadaan menjadi tidak terkawal semasa Mohd. Zin memotong tali belon sebagai simbolik penutupan plaza tol tersebut.
Beberapa ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas berebut-rebut mengibarkan bendera parti masing-masing bagi menunjukkan bahawa penutupan plaza tol itu hasil usaha mereka.
Keadaan itu tidak menyenangkan ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang ‘melawan balik’ dengan menepis bendera PKR dan Pas untuk mengibarkan bendera UMNO serta BN.
Melihat keadaan yang tidak terkawal itu, Mohd. Zin mengambil keputusan beredar dari kawasan tersebut tanpa sempat mengadakan sidang akhbar.- Utusan
No comments:
Post a Comment