17 January 2009

Peratusan mengundi menurun, proses pengiraan sedang berlangsung

KUALA TERENGGANU: Proses pengiraan undi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu ini kini sedang berlangsung dengan hampir 80% pengundi telah keluar mengundi hari ini.

Undi sedang dikira di pusat-pusat mengundi yang dijangka akan mengambil masa kira-kira dua jam.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd, Aziz Mohd. Yusof berkata, peratusan yang keluar mengundi pada hari ini adalah sebanyak 79.73 peratus iaitu 63,967 daripada 80,229 pengundi yang berdaftar.

Kata beliau, ia merupakan sedikit penurunan berbanding peratusan keluar mengundi 81.92 peratus pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Dalam pada itu, keputusan di beberapa pusat mengundi sedang dibawa masuk ke pusat pengiraan undi di Stadium Negeri, di sini.

Antara keputusan pusat pengundian pertama yang dibawa masuk adalah Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin yang dibawa masuk pada pukul 6.39 petang tadi.

Pemilihan kali ini menyaksikan persaingan tiga penjuru yang membabitkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari Barisan Nasional (BN), Mohd. Abdul Wahid Endut (PAS) dan Azharudin Mamat @ Adam (Bebas).

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong berikutan kematian mengejut penyandangnya iaitu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.

Pada pilihan raya umum lalu, Razali berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Razali memperoleh 32,562 undi, manakala Mohamad (31,934 undi) dan Maimun (685 undi). - Mstar

* Mungkin yang tidak mengundi itu adalah pengundi hantu yang takut dengan ketelusan SPR yang 'baru'. Jika ini benar, PAS dijangka menang besar.

No comments:

Post a Comment