18 December 2008

Reformis: Bukan kerana Selangor tolak permohonan kami | Malaysiakini

Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) – dikenali dengan "skuad berani bogelnya" dan lantang mengkritik kerajaan Selangor – mengakui permohonannya untuk mendapatkan kawasan berniaga pernah ditolak oleh kerajaan negeri.

Ramlan Abu Bakar bagaimanapun bertegas penolakan itu bukanlah penyebab Reformis mengecam hebat kepemimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan ingin melancarkan "perang bogel" terhadap penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menambah, permohonan itu tidak dibuat atas namanya, sebaliknya mewakili sebuah perkumpulan penjaja yang dipengerusikannya, Persatuan Usaha-usaha Peniaga Kuala Lumpur.

Ramlan juga menegaskan, permohonan tapak berniaga di Shah Alam dan Klang juga dibuat mengikut prosedur di dua pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit dan bukannya "ikut pintu belakang".

Setiausaha penaja Reformis, Zairi Jantan kelmarin mendakwa, tindakan Ramlan itu – seorang pengusaha tempat letak kenderaan di Sentul – disyaki bersifat peribadi kerana permohonan projeknya dengan kerajaan Selangor tidak mendapat balasan.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Ramlan sekali lagi menegaskan perjuangan Reformis membela rakyat miskin di Selangor merupakan perjuangan berteraskan prinsip.

"Tuduhan (minta projek) itu tidak berasas. Kalau hendak duit, saya fokus meniaga sahaja, tidak perlu fikir perkara lain," katanya.

Beliau mendakwa, sepanjang menyertai PKR sejak ia ditubuhkan pada 1999 (waktu itu dikenali Parti Keadilan Nasional), beliau telah menyumbang banyak wang untuk membantu parti itu.

Ramlan pernah memegang jawatan bendahari bahagian Bukit Bintang.

Ditanya tentang pergolakan dalaman Reformis, Ramlan berkata, penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pihak bertelagah – beliau dan barisan exconya yang tidak berpuas hati – adalah membawa haluan masing-masing.

Namun, tambahnya, jenama "Reformis" merupakan hak beliau jika dilihat sejarah penubuhannya Julai 2007.

"Jangan curi, jangan rompak. Ingat siapa beli (tubuhkan) 'produk' (persatuan) itu?" katanya.

Sembilan exco Reformis – termasuk timbalan presiden penaja Badrul Hisham Mohd Hanafiah dan setiausahanya Zairi Jantan – mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Ramlan awal bulan ini dengan alasan "menyerang secara peribadi" Abdul Khalid dan tidak merujuk pandangan mereka.

Tidak puas hati dengan tindakan itu, Jumaat lepas, Ramlan dakwa telah memecat enam exconya - termasuk Badrul Hisham dan Zairi - dan digantikan dengan barisan kepimpinan baru.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan barisan baru itu.

Barisan exco yang bersama Badrul Hisam hari ini dijadualkan bermesyuarat membincangkan tindakan disiplin kepada bosnya itu.

Keputusan mesyuarat akan diumumkan dalam satu sidang media Jumaat ini.

* Apa bising-bising ni Ramlan

2 comments:

  1. Macam dalang UMNO tu. PAS ada dalang, PKR pun didalangi.

    ReplyDelete
  2. betul tu koh, kalau dia pengikut setia dia akan bincang baik - baik. Cina pun ada otak.. :)

    ReplyDelete