HULU TERENGGANU - "Saya tak ada pilihan melainkan terpaksa lepaskan (cerai) dia dengan berat hati."
Begitulah keputusan dibuat suami kepada seorang suri rumah berusia 38 tahun yang cuba terjun dari bangunan empat tingkat di Batu 24, Kuala Berang di sini, Ahad lalu.
Menurut lelaki dikenali sebagai 'Pak Engku' itu, dia sudah tidak tahan dengan masalah mental isteri keduanya itu yang kerap naik angin dan mudah mengamuk.
Kontraktor binaan itu berkata, wanita terbabit menghidap penyakit mental sejak zaman remaja dan pernah dirawat di hospital sakit mental di Tampoi, Johor selama tiga bulan mulai Jun lalu.
Beliau yang menjual kereta terpakai berkata, wanita itu bergantung kepada ubat penenang dan turut menimbulkan masalah sama kepada tiga bekas suaminya.
"Saya hanya tahu dia ada masalah mental selepas empat bulan berkahwin, saya cuba bantu dia dengan penuh sabar, tapi nampaknya tak ada perubahan malah makin teruk.
"Saya dah tawar hati dan tak tahan lagi kerana ini bukan kali pertama dia buat hal malah dia pernah bakar motosikal dan cuba terjun dari Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu tahun lalu.
"Dia juga pernah campakkan kipas angin dan telefon bimbit serta pecahkan tiga televisyen gara-gara cemburu hanya disebabkan perkara remeh," ceritanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Getang, semalam.
Ahad lalu, suri rumah itu mencetuskan suasana panik apabila mengancam untuk terjun dari atas bangunan yang sedang dalam pembinaan di Kuala Berang, sebelum diselamatkan anggota bomba dan polis. - Kosmo
No comments:
Post a Comment