Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) harus menangguhkan dasar membataskan jualan minuman keras, yang asalnya dirancang berkuatkuasa Januari depan, sehingga diputuskan oleh kerajaan Selangor.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun kerajaan negeri prihatin dengan kebimbangan sesetengah pihak berhubung pengambilan alkohol, ia tidak akan mengambil tindakan drastik mengehadkan jualan secara menyeluruh.
"Kita telah meminta supaya semua keputusan itu (di peringkat pihak berkuasa tempatan) dibuat selari dengan keputusan yang dibuat oleh exco negeri.
"Keputusan exco negeri hanya (memutus) meningkatkan penguatkuasaan, melarang penjualan alkohol kepada mereka bawah 18 tahun, dan juga kepada masyarakat Islam," kata Abdul Khalid apabila diminta mengulas hasrat MBSA membataskan jualan minuman beralkohol.
"Jadi selepas perjumpaan kita dengan mereka yang berkenaan seperti pemilik kedai, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan NGO-NGO, barulah kita akan membuat beberapa keputusan pelaksanaan."
Abdul Khalid menambah, kerajaan negeri akan mengadakan rundingan untuk meningkatkan langkah penguatkuasaan kawalan terhadap jualan alkohol awal tahun depan.
Mengulas sama ada MBSA wajar membekukan pelaksanaan dasar tersebut, beliau juga berkata:
"Lagipun ia belum dikuatkuasakan. Itu hanya penerimaan pandangan. Tidak ada masalah. Kita akan sentiasa terima beberapa cadangan dari ahli-ahli majlis dan juga daripada NGO tentang perkara-perkara sosial dan masyarakat di Selangor."
Dasar membataskan jualan arak di beberapa premis terbuka seperti kedai serbaneka 24 jam dan restoran diputuskan oleh MBSA hujung bulan lepas.
Menurut sumber-sumber PBT itu lagi, berikutan itu, pengeluaran lesen bagi tiga premis - kedai runcit, restoran dan kedai serbaneka 24 jam - akan disemak semula.
"Mereka perlu mengemukakan rayuan yang akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pelesenan yang juga dianggotai ahli MBSA," kata sumber-sumber tersebut.
Bagaimanapun, tambah sumber-sumberiitu, semakan semula ini tidak melibatkan premis lain seperti hotel, kelab malam, kedai ubat Cina, pasaraya besar dan jualan oleh pemborong.
Sementara itu, di sidang media lebih awal di bangunan Parlimen, exco kanan Selangor, Teresa Kok menjelaskan tiada larangan jualan alkohol di negeri itu.
Tambahnya, seorang exco pernah membangkitkan isu mudahnya minuman keras diperolehi di kedai-kedai serbaneka 24 jam dan mencadangkan agar ia dikawal lebih ketat.
Bagaimanapun, kata Teresa, cadangan itu tidak dipersetujui oleh ramai exco.
Beliau juga berkata, dalam mesyuarat berkenaan, menteri besar mencadangkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan kedai serbaneka untuk menyelesaikan isu tersebut.
* Tarik balik lesen kedai jual arak kepada orang Islam
No comments:
Post a Comment