23 June 2008

Antara punca Dubai jadi sasaran - Rumah bintang bola sepak England terdapat di Palm Jumeirah


AGENSI perisikan Britain, MI6 berjaya mendedahkan satu rancangan rangkaian Al-Qaeda untuk menjadikan pemain bola sepak terkenal, David Beckham dan beberapa bintang England lain sebagai sasaran serangan.

Menurut sebuah akhbar semalam, MI6 mendapati kumpulan itu merancang untuk menyerang Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di mana Beckham dan beberapa pemain bola sepak yang lain mempunyai hartanah di bandar raya berkenaan.

Berita berhubung serangan itu menyebabkan pihak berkuasa UAE mengambil langkah keselamatan terbaru dan Pejabat Luar Britian juga menaikkan tahap amaran bahaya daripada biasa kepada tinggi.

Kedutaan Britain di Dubai juga mengeluarkan amaran kepada pengembara bahawa ancaman serangan daripada pengganas kini berada di tahap tertinggi.

“Kami percaya pengganas mungkin merancang untuk melakukan serangan di UAE.

“Serangan boleh berlaku pada bila-bila masa di tempat yang kerap dikunjungi oleh ekspatriat dan pelancong asing seperti kawasan kediaman dan lokasi yang mempunyai kepentingan ketenteraan, minyak, pengangkutan dan penerbangan.

“Anda perlu mengekalkan tahap kesedaran keselamatan tertinggi pada bila-bila masa terutamanya di tempat awam,” kata kedutaan itu dalam satu kenyataan sebelum ini.

Beckham dan beberapa pemain bola sepak di England seperti Gary Neville, Michael Owen, David James, Joe Cole, Andy Cole dan Kieron Dyer memiliki hartanah di Palm Jumeirah yang merupakan pulau buatan mewah di Dubai.

Pulau yang dianggap sebagai `taman permainan’ jutawan itu kerap dinyatakan sebagai sasaran serangan oleh laman-laman web Al-Qaeda yang dipantau oleh pihak berkuasa.

Turut dinyatakan dalam serangan itu adalah bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Al-Arab.

Kedua-dua sasaran itu pernah disebut dalam satu rakaman video oleh sebuah sayap Al-Qaeda, Global Islamic Media Front pada Mac 2006.

Pendedahan sasaran serangan itu menyebabkan pihak berkuasa melakukan beberapa tangkapan di Jerman dan Austria.

Pada 22 Mei lalu satu perbincangan di internet membincangkan serangan di Dubai yang merujuk kepada menara dan pulau buatan yang mempunyai ramai rakyat Britain.

Menurut kenyataan di internet itu, rakyat Britain dijadikan sasaran kerana kebanyakan mereka bekerja di loji penapisan minyak dan memiliki kekayaan.

Mesej terakhir yang dihantar berhubung subjek itu ialah pada 30 Mei lalu yang menyatakan: “Kita sudah bersedia tetapi ia memerlukan perancangan yang bagus dan arahan.”

Dua hari kemudian, perbincangan berhubung subjek itu terhenti secara misteri.

Terdapat 78 mesej yang dihantar di laman kendalian sayap Al-Qaeda itu.

Beckham sebelum ini membeli sebuah rumah di Palm Jumeirah pada harga £800,000 (RM5.14 juta) pada 2002.

BECKHAM memiliki sebuah rumah berharga RM5.14 juta Palm Jumeirah.

Kediaman mewah itu kini berharga £8 juta (RM51.4 juta) dan ia kerap digunakan oleh ibu bapa mentuanya iaitu Tony dan Jackie Adams.

Baru-baru ini, satu khabar angin tersebar bahawa Presiden Afghanistan, Hamid Karzai telah membeli satu hartanah di hadapan kediaman milik Dyer yang juga pemain kelab West Ham.

Pengganas juga mahu menyerang Dubai selepas berang kerana UAE merupakan satu-satunya negara Arab yang menghantar askar berperang bersama-sama tentera Britain dan Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan.

Al-Qaeda juga dilaporkan memajukan taktik terbaru untuk melancarkan serangan di lokasi di pantai sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa Palm Jumeirah mungkin menjadi sasaran seterusnya.

Pulau buatan yang mempunyai bentuk pokok kurma dan lima kali lebih besar dari Hyde Park di London itu boleh menempatkan 65,000 penduduk.

Kerajaan UAE berharap pulau itu akan menjadi lokasi tarikan pelancongan terkenal di dunia sekali gus membantu ekonomi negara tersebut apabila simpanan minyaknya kehabisan.

– Agensi

No comments:

Post a Comment