03 May 2008

Pak Uda masuk hospital

Menurut anak ketiganya, Mohd Soupi (Opie),34, keadaan bapanya masih kritikal dan hingga pagi semalam, Zami ditempatkan di wad kecemasan sebelum dipindahkan ke wad rawatan rapi (ICU).

“Bapa dimasukkan ke hospital jam 6.30 pagi tadi (semalam) selepas mengalami semput atau sesak nafas ketika tidur. Buat masa ini, doktor memaklumkan keadaannya masih kritikal dan tidak sedarkan diri serta memerlukan rawatan selanjutnya di wad ICU.

“Bapa juga mengalami batuk teruk kebelakangan ini dan pernah menghidap sakit jantung dulu tetapi penyakit itu masih terkawal. Cuma sejak tiga bulan lalu, bapa mula dikesan menghidap penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis dan paru-paru berair.

“Sebenarnya bapa mengalami sesak nafas sejak terbabit dalam penggambaran filem Shh... Dia Datang, dua minggu lalu. Walaupun keadaannya begitu, bapa masih menunjukkan semangat untuk terus bekerja dan menghabiskan lakonannya dalam filem itu,” katanya.

Ketika di wad kecemasan semalam, Zami masih diberi bantuan pernafasan melalui mulut dan ditemani ahli keluarga yang lain termasuk isteri, Haizan Ibrahim dan anaknya iaitu Ahmad Tahar, Ismail Fahmi, Khairul Afendi, Aida Nurul Asikin, Aida Nurul Wahyu, Ahmad Firdauh dan Zaid Al Bahman.

Dalam filem Shh...Dia Datang yang mengetengahkan genre komedi dan diarahkan Saiful Apek, Zami diberi watak sampingan sebagai Pak Da iatu watak yang sama seperti Pak Uda yang menguruskan restoran sendiri.

Filem itu turut dibintangi Saiful sendiri bersama Aaron Aziz termasuk rakan Zami dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu iaitu Imuda dan Ahmad Busu. Beliau juga juga melakonkan aksi komedi menjadi Superman. Penggambaran filem yang diadakan sekitar Petaling Jaya itu berakhir pada 11 April lalu.

http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment