26 May 2008

Kejam, dibunuh di Penjara Sungai Buluh

SUNGAI BULOH: Hasrat seorang bapa melawat anak lelakinya di Penjara Sungai Buloh di sini, sempena cuti Hari Wesak berkecai apabila anaknya mati dibelasah sekumpulan banduan di penjara berkenaan, petang semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, G Uthayachandran, 23, yang sedang menunggu perbicaraan berhubung kes dadah dikatakan sedang makan di kantin penjara bersama beberapa rakan.

Dia dan seorang rakannya kemudian didatangi dua lelaki dan diarah mengikut mereka ke sebuah bilik berhampiran untuk membincangkan sesuatu.

Sejurus tiba di kawasan itu, mereka terkejut mendapati hampir 20 banduan menunggu dalam bilik berkenaan yang sudah dikunci.

Uthayachandran dan rakannya dibelasah bertubi-tubi kumpulan banduan berkenaan menyebabkan mereka parah di muka dan leher, dipercayai ditikam dengan senjata tajam.

Mangsa dikatakan mati serta-merta di tempat kejadian, manakala rakannya yang berusia 24 tahun cedera di muka dan kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Bapanya, M Chandram, 51, mendakwa anak lelakinya pernah beberapa kali mengadu dan meminta pihak penjara bertukar bilik dan blok tahanan kerana bimbang keselamatannya.

“Dia (anak) yang ditahan sejak tiga tahun lalu sebelum ini memberitahu kurang selesa menetap di blok tahanan itu dan meminta segera ditukarkan blok lain.

“Bagaimanapun, pihak penjara tidak mengendahkannya sehingga anak lelaki saya itu dibunuh,” katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital itu, malam tadi.

Chandram berkata, dia akan membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh hari ini sejurus menyelesaikan urusan pengebumian mendiang.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment