DUBAI 6 Jan. – Seorang anggota Al- Qaeda warga Amerika Syarikat (AS) menyeru para militan menyambut ketibaan kedatangan Presiden George W. Bush ke Asia Barat minggu ini dengan melakukan serangan bom.
“Jangan menyambut kedatangan beliau dengan bunga atau tepukan gemuruh tetapi dengan serangan bom dan perangkap,” kata Adam Gadahn dalam sebuah rakaman video yang disiarkan dalam Internet hari ini.
Rakaman selama 50 minit itu dilakukan dalam bahasa Inggeris dan disasarkan untuk disiarkan kepada rakyat AS.
Gadahn yang juga dikenali sebagai “Azzam seorang Amerika” berkata, serangan jihad terhadap AS akan diteruskan sehingga tahanan yang beragama Islam, dibebaskan.
Amaran itu merujuk kepada layanan buruk yang diberikan kepada seorang lagi anggota militan AS yang ditahan, John Walker Lindh serta tahanan lain.
Beliau turut mengoyakkan pasport AS miliknya di hadapan kamera sebagai protes terhadap layanan yang diberikan kepada para tahanan.
“Jihad akan berterusan selagi masih terdapat tahanan Islam di sana.
“Ini merupakan sebab utama kenapa anda semua (rakyat AS) harus mengambil setiap langkah yang perlu untuk memaksa Washington membebaskan tahanan ini tidak kira dimana mereka berada atau apa kesalahan mereka,” ujarnya lagi.
Gadahn menyatakan rakaman berkenaan yang diberi tajuk satu jemputan untuk renungan dan bertaubat memberi penjelasan secara khusus tentang kelemahan polisi luar AS serta tamadun Kristian barat dan kekalahan mereka di tangan orang Islam.
“Soalan pertama yang mungkin ditanya oleh warga AS ialah adakah Amerika benar-benar telah dikalahkan? Dan jawapannya adalah benar,” katanya yang mempunyai janggut panjang serta berserban seperti seorang Arab.
“AS dan sekutunya telah berulang kali menyatakan mereka tidak mampu dan enggan berdepan dengan mujahidin di Afghanistan dan Iraq tetapi masih berusaha untuk menang untuk menyedapkan hati dan fikiran mereka, sesuatu yang gagal mereka miliki di sebalik perbelanjaan besar yang telah dikeluarkan serta propaganda yang dijalankan,” katanya.
Beliau turut menyatakan AS turut gagal dalam perang menentang anggota militan Islam di Pakistan, Chechnya, Afrika Utara dan Somalia.
Bagaimanapun kesahihan rakaman berkenaan masih belum dapat dipastikan namun ia telah dikirim melalui sebuah rangkaian media milik Al Qaeda, As-Sahab dan telah disiarkan dalam laman Islam selama beberapa hari.
Gadahn yang dilahirkan di California sebelum memeluk Islam dan merupakan orang pertama yang didakwa sebagai pembelot sejak era Perang Dunia Kedua dan kini dipercayai berada di Pakistan.
Beliau yang sebelum ini dikenali dengan nama Adam Pearlman, berasal dari sebuah keluarga Yahudi-Kristian dan memeluk Islam sejak berusia 17 tahun serta dibesarkan diluar Los Angelas.
– Reuters
No comments:
Post a Comment