KUANTAN 13 Dis — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, penahanan lima orang, yang mendalangi perhimpunan haram di ibu negara bulan lepas, mengikut Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) berkuatkuasa hari ini dibuat berdasarkan kewajaran menjaga keselamatan negara.
Sekalipun kerajaan memberikan kebebasan kepada semua pihak untuk bersuara, Perdana Menteri berkata, keselamatan negara dan ketenteraman awam negara adalah keutamaan penting.
“Kalau (antara) kebebasan untuk bercakap dengan ketenteraman awam, saya utamakan ketenteraman awam. Kalau nak bercakap (mesti) ikut peraturan, ini bukan negara yang membisukan semua orang, dan rakyat tak bisu.
“Kalau nak kan kebebasan kita mesti bertanggungjawab. Kebebasan tidak boleh diberikan tanpa tanggungjawab...,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama Badan Perhubungan Barisan Nasional Pahang di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Abdullah, yang dalam rangka lawatan sehari ke Pahang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan lima orang — P. Uthayakumar, M.
Manoharan, R. Kenghadharan, V. Ganabatirau dan T. Vasanthakumar — yang bergerak di sebalik kumpulan tidak berdaftar yang dinamakan Hindu Rights Action Force (Hindraf), mendalangi perhimpunan haram pada 25 Nov lepas.
Ditanya lanjut mengenai penahanan mengikut ISA itu, Abdullah, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, berkata: “Kenyataan telah dikeluarkan berhubung tahanan ISA dan saya tidak ada apa hendak dijelaskan lagi.”
Beliau juga enggan mengulas jumlah sebenarnya yang akan ditahan mengikut ISA dan sama ada lebih ramai lagi akan ditahan mengikut akta itu.
Menjawab satu soalan, Abdullah berkata: “Tindakan kita mesti diasaskan kepada kewajaran, kita ambil satu tindakan kalau berlaku sesuatu yang menggugat keamanan dan keselamatan.
“Menjadi kewajipan kepada saya kerana rakyat memerlukan tindakan, rakyat tidak ingin melihat negara dalam keadaan porak peranda.
Mengenai kebimbangan tindakan itu akan dipolitikkan pembangkang, beliau berkata: “Sejak bila pembangkang tak guna macam macam helah? Pembangkang, kerja dia membangkang.”- Bernama
No comments:
Post a Comment