06 December 2007

06.12.07 - Abdul Hamid Ketua Hakim Negara


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Datuk Abdul Hamid Mohamad dilantik menjadi Ketua Hakim Negara, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi menggantikannya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan hari ini.

Abdullah, dalam satu kenyataan, berkata, pelantikan Abdul Hamid, 65, berkuat kuasa 1 November lepas, manakala tarikh kuat kuasa pelantikan Zaki, 62, akan ditetapkan kemudian.

Sebelum ini, Abdul Hamid memangku jawatan Ketua Hakim Negara ekoran persaraan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada 1 November.

Abdullah berkata, pelantikan Abdul Hamid dan Zaki diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja seperti yang diperuntukkan mengikut Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata, Mahkamah Persekutuan sedang berurusan dengan Istana Negara untuk menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan kepada kedua-dua hakim berkenaan.

Abdul Hamid akan mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia sebagai Ketua Hakim Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

- Bernama

No comments:

Post a Comment