KANGAR 2 Dis. – Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan mengambil alih pentadbiran kesemua 15 depot tahanan Imigresen yang menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) mulai tahun depan.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, pengambilalihan sementara dimulakan dengan dua depot iaitu Depot Tahanan Semenyih di Selangor serta Pekan Nenas di Johor pada 15 Januari ini.
Menurut beliau, ia akan disusuli Depot Tahanan Lenggeng di Negeri Sembilan; Langkap di Perak; Machap Umbo di Melaka; Belantik di Kedah serta Juru di Pulau Pinang.
Pada Mac pula, jelasnya, empat lagi depot tahanan akan diserahkan kepada Rela iaitu di Tanah Merah, Kelantan; Ajil di Terengganu; Simunjan di Sarawak dan Kemayan di Pahang.
‘‘Ini akan diteruskan di Depot Tahanan Bekenu Disember tahun depan serta tiga lagi depot tahanan di Sabah.
‘‘Tanggungjawab itu akan diserahkan sementara sebelum Jabatan Imigresen mendapat perjawatan baru yang memerlukan tempoh antara dua hingga tiga tahun untuk melatih anggota jabatan berkenaan.
‘‘Apabila Jabatan Imigresen sudah mendapat perjawatan baru, anggota mereka akan mengambil alih semula depot berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan Hari Keluarga Rela Perlis, di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment