29 May 2020

Penunjuk perasaan Minnesota bakar balai polis



MINNEAPOLIS - Rusuhan di Minnesota berlanjutan sehingga malam tadi apabila bangunan Jabatan Polis Minneapolis dibakar oleh penunjuk perasaan.

Jurucakap polis, John Elder berkata, semua kakitangan diarahkan keluar dari bangunan itu sekitar jam 10 malam (waktu tempatan) sejurus penunjuk perasaan memasuki bangunan tersebut dan memulakan kebakaran.

Katanya, terdapat satu laporan yang belum disahkan mengenai saluran gas bangunan ketiga itu telah dipotong dan terdapat beberapa bahan letupan di dalam bangunan berkenaan.



"Orang ramai di sekitar bangunan itu diarahkan meninggalkan kawasan tersebut kerana kemungkinan akan berlaku kebocoran gas," katanya.

Selain itu, Jabatan Polis St. Paul berkata, susulan rusuhan itu, lebih 170 premis perniagaan juga telah dirosakkan tetapi tiada sebarang kecederaan telah dilaporkan.

Katanya, penunjuk perasaan dilihat menyekat beberapa laluan trafik di pusat bandar Minneapolis.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey melalui Twitternya berkata, pihaknya bekerjasama dengan Balai Bomba Minneapolis sebagai tindak balas terhadap demonstrasi yang berlaku.



Terdahulu, dianggarkan kira-kira 4,000 penunjuk perasaan berarak di pusat bandar Minneapolis bagi memprotes kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd, yang meninggal dunia apabila seorang anggota polis meletakkan lutut pada leher mangsa ketika menahannya. - Agensi

500 Pengawal Kebangsaan dikerah ke Minnesota

MINNEAPOLIS - Kira-kira 500 anggota Pengawal Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) telah dikerah di bandar Minnesota dan St Paul selepas protes ganas masuk hari ketiga sebagai membantah insiden tindakan kekerasan anggota polis yang menyebabkan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd pada Isnin lalu.

"Pasukan kami dilatih untuk melindungi nyawa, harta benda dan memastikan hak orang ramai untuk mengadakan demonstrasi secara aman," kata Mejar Jeneral, Jon Jensen.

Keputusan penempatan pasukan tersebut dibuat selepas situasi semakin tidak terkawal berikutan kumpulan perusuh mula membakar dan merosakkan harta benda awam kerana berang dengan kekejaman polis ke atas orang kulit hitam.

Dalam insiden berasingan, wartawan CNN, Omar Jimenez bersama kru kamera dilaporkan ditahan ketika sedang membuat liputan tentang situasi tegang itu.

Mereka bagaimanapun dibebaskan kira-kira sejam kemudian selepas gabenor memohon maaf atas insiden penahanan tersebut.

Selain itu, terdapat juga demonstrasi di bandar lain termasuk New York, Los Angeles, Chicago, Denver, Phoenix dan Memphis. - Agensi

No comments:

Post a Comment