06 April 2020

Kerajaan batalkan kelulusan Heineken beroperasi semasa PKP

Kerajaan telah membatalkan kelulusan yang diberikan kepada Heineken Malaysia Bhd untuk meneruskan operasi semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Ini susulan tindakan pemimpin Umno, PAS dan Bersatu yang membidas kerajaan kerana meluluskan keputusan sedemikian sedangkan arak bukan dianggap sebagai barangan penting.

Dalam ciapan di Twitter, Annuar berkata kelulusan kepada pengeluar minuman alkohol untuk beroperasi tidak selari dengan dasar PKP.

"Sudah di batalkan pagi ini... kerana tak selari dengan dasar yang ditetapkan kerajaan,” katanya

Semalam, tular sepucuk surat dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pengecualian kepada sebuah syarikat arak untuk beroperasi ketika PKP.

Dalam surat bertarikh 31 Mac yang dilihat Malaysiakini, kementerian berkenaan membenarkan Heineken Malaysia Bhd beroperasi dalam PKP, susulan permohonan yang dibuat pada 24 Mac.

Syarikat pembekal bir itu kemudian mengesahkan ketulenan surat berkenaan melalui satu kenyataan sambil menambah bahawa operasi terhad mereka itu hanya dibenarkan dengan 10 peratus pekerja semasa PKP. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment