27 November 2018

Bantah ICERD: Mufti Perlis cadang tukar kepada Perhimpunan Survival Umat

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mencadangan agar perhimpunan bantahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ditukar kepada kepada Perhimpunan Survival Umat.

Menurut beliau, berdasarkan suasana kini umat Islam memerlukan pertemuan dan panduan untuk membahaskan langkah-langkah masa depan yang sewajarnya.

Dr. Mohd. Asri juga mengesa umat Islam melupakan perbezaan antara mereka dan bersatu untuk masa depan Ummah.
"Saya ingin mencadangkan kepada pihak yang ingin mengadakan perhimpunan bantahan ICERD untuk menukar kepada Perhimpunan Survival Umat. Ia lebih luas merangkumi aspek yang lebih besar.

"Sementara dalam suasana sekarang, Umat perlukan pertemuan dan panduan untuk membahaskan langkah-langkah masa depan yang sewajarnya. Lupakan perbezaan antara kita. Bersatu untuk masa depan ummah," kata Dr. Mohd. Asri dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Bantahan ICERD juga tidak diperlukan memandangkan kerajaan sudah mengisytiharkan tidak akan meratifikasi konvensyen tersebut. Himpunan bantahan ICERD yang digerakkan secara bersama oleh Pas dan UMNO dijadual berlangsung pada 8 Disember depan.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Asri berkata, rusuhan yang berlaku ketika ini membenarkan pandangan bahawa ICERD belum serasi dengan iklim Malaysia.

"Rusuhan pengganas yang baru berlaku menunjukkan betapa 'budi baik' bukan semuanya dikenang.

"Demikian juga sikap yang santun dan baik bukan semestinya dihargai. Maka, ini membenarkan pandangan bahawa ICERD belum serasi dengan iklim Malaysia," kata Dr. Mohd. Asri.-UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment