21 April 2018

Jodoh nenek 10 cucu, duda enam anak di kaki gunung

KLANG - Nenek kepada 10 cucu tidak menyangka lelaki yang ditemuinya di kaki gunung ketika masing-masing menyertai sebuah kelab pendakian tiga tahun lalu akhirnya menjadi peneman hidupnya.

Sarimah Yusuf, 55, yang berstatus janda selepas kematian suami beberapa tahun lalu berkata, dia mengenali suaminya A Razak Ismail, 47, ketika mendaki sebuah gunung di semenanjung negara ini bersama rakan-rakannya.



"Kami mula berkenalan dari situ dan menjadi rapat, pada tahun lalu kami mengambil keputusan untuk memperkenalkan diri kepada keluarga masing-masing.

"Selepas mendapat restu anak-anak, kami membuat keputusan untuk berkahwin," katanya kepada Pemberita.

Sarimah dan A Razak merupakan salah satu daripada 21 pasangan yang dinikahkan secara beramai-ramai pada Majlis Akad Nikah Perdana 2018 anjuran Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Klang di Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan hanya mengenakan bayaran RM1,000 kepada setiap pasangan manakala kos selebihnya ditanggung oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pada masa sama, ibu kepada dua anak berusia 34 dan 32 tahun itu memaklumkan dia sudah berjaya menawan banyak gunung di negara ini antaranya Gunung Tok Nenek, di Banjaran Titiwangsa dan Gunung Stong, Kelantan selama terlibat dalam pendakian.

"Saya juga menanam hasrat mahu menawan tujuh gunung tertinggi di Semenanjung atau dikenali 'G7' bersama suami  jika mempunyai kesempatan serta umur yang panjang.

"Saya mahu menawan gunung-gunung berkenaan bagi melengkapkan pendakian dan syarat sebelum meneruskan pendakian ke luar negara," katanya.

Sementara itu, A Razak yang sebelum ini berstatus duda dan mempunyai enam anak berusia 8 hingga 19 tahun hasil perkahwinan terdahulu berkata, asalnya dia mengikuti aktiviti mendaki gunung itu atas ajakan rakan-rakan.

"Selama berkawan dengan Sarimah kami merahsiakan hubungan daripada pengetahuan anak-anak kerana malu atas faktor usia.

"Selepas melihat kesungguhan dan kejujuran Sarimah dalam perhubungan, saya bertindak menyuntingnya sebagai isteri saya," katanya yang berasal dari Johor.

Melalui perkahwinan itu, katanya, dia berharap isterinya dapat bersama-samanya ketika susah dan senang dan mahu menjadikan kekecewaan pada perkahwinan terdahulu sebagai pengalaman untuk membina perkahwinan yang lebih bahagia. - Sinar

1 comment: