11 October 2017

Zamihan nak saman portal, akhbar siar artikel didakwa fitnah

BANGI, 21 Muharram 1439H, Rabu – Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin, memberi tempoh tujuh hari kepada Free Malaysia Today, Malay Mail Online, New Straits Times Press (NSTP) dan Datuk Zaid Ibrahim menarik balik artikel dan tuduhan liar mereka terhadapnya.

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya sebentar tadi, beliau juga menggesa mereka memohon maaf kepadanya secara terbuka. Beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memfitnahnya jika gagal berbuat demikian.

Kenyataan itu dibuat berikutan laporan media semalam mengenai ceramahnya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam, Ahad lalu, yang dikatakan menyelar kenyataan Sultan Johor berkaitan isu dobi mesra muslim.

“Saya juga mengesa pihak berkuasa agar menyiasat artikel yang disiarkan FMT, MMO dan NSTP yang jelas berbaur hasutan dan cuba menimbulkan kebencian antara agama serta mencetuskan permusuhan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Katanya, artikel FMT berniat jahat dan berunsur fitnah terhadapnya selain cuba mengeruhkan hubungan antara agamawan dan istana berhubung isu dobi muslim dan dilihat mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan hubungan antara kaum dengan mencetuskan kemarahan bukan Islam terhadap umat Islam di negara ini.

“Dalam rakaman video yang kononnya dijadikan rujukan FMT, saya sama sekali tidak menyebut nama Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Saya juga tidak menggunakan perkataan yang kasar, kesat atau sebarang elemen yang bersifat hasutan dalam ceramah berkenaan.

“Saya sedia untuk disiasat atas falsafah berani kerana benar dan takut kerana Allah. Namun demikian, amat wajar juga disiasat gerakan ‘agenda republik’ untuk menghapuskan sistem Kesultanan oleh segelintir pendakwah Liberal Muslim di negara ini,” katanya yang pernah membentangkan laporan mengenai ancaman Syiah pada mesyuarat Majlis Raja-Raja 31 Oktober 2013 lalu.

Zamihan yang juga bekas pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut memohon maaf jika Sultan Johor terasa hati dengan salah faham yang timbul.

Beliau mendakwa tajuk artikel yang diberikan oleh portal FMT jelas berniat jahat bagi menyerang dan memburukkan imejnya selaku Presiden Aswaja dan ini bukan kali pertama FMT dan sekutunya mengeluarkan artikel yang cuba membunuh karakternya.

“Berdasarkan kronologi kes dan fakta diatas jelaslah bahawa tindakan wartawan dan portal berkenaan sebenarnya membuktikan mereka bersikap anti Islam, memusuhi agensi agama Islam, khasnya JAKIM dan dilihat tidak pernah mahu menghormati hak dan sensitiviti muslim di negara ini,” katanya. - http://www.ismaweb.net


No comments:

Post a Comment