14 October 2017

Video 'hubungan sulit' pegawai SPRM, laporan polis dibuat

Satu laporan polis dibuat hari ini berkenaan klip video di internet yang memaparkan dakwaan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalinkan hubungan sulit dengan wanita yang sudah berkahwin.

"Jika benar kandungan di dalam video tersebut, ia adalah perkara serius kerana hakikat mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang sehingga meruntuhkan rumah tangga adalah perkara yang tidak boleh diterima rakyat.

"Ini kerana ia melibatkan akhlak dan moral individu dan mempunyai kesan buruk, lebih-lebih lagi apabila individu tersebut merupakan pegawai kanan satu institusi seperti SPRM," dakwa Muhd Syazwan Ahmad Zainal yang mengeluarkan kenyataan sebagai exco ARMADA BERSATU, hari ini.

Namun, Ketua ARMADA Syed Saddiq Abdul Rahman menafikan Muhd Shazwan sebagai exco sayap parti itu, dan berkata beliau telah diberikan surat pemecatan tiga bulan lalu ekoran isu disiplin.

"Saya menegaskan ARMADA bersama-sama SPRM untuk melawan rasuah. Politik toksik dan kotor seumpama ini bukan caranya untuk melangkah ke hadapan," katanya dalam kenyataan.

Klip video itu dimuat naik ke laman Youtube, dan didakwan menunjukkan pegawai itu mengadakan hubungan sulit dengan seorang wanita yang telah berumahtangga dan mempunyai anak.

Muhd Syazwan mendesak isu itu disiasat dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan berdasarkan undang-undang yang relevan.

Khususnya, beliau mahukan pihak polis untuk menyiasat hal ini di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

Seksyen 498 Kanun Keseksaan memperuntukan perbuatan 'memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks adalah satu kesalahan jenayah.'

Muhd Shazwan juga menggesa pegawai kanan SPRM yang terlibat untuk tampil menafikan kandungan video tersebut jika ia palsu bagi mengekalkan imej agensi antirasuah itu.

Semalam Malaysiakini melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihak polis akan menyiasat dakwaan bahawa seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cuba memikat isteri orang.

Video itu juga mendakwa wanita itu telah bercerai dengan suaminya ekoran hubungan sulit itu.

Namun, pasangan tersebut menafikan penceraian mereka berpunca daripada isu tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dilaporkan enggan mengulas dakwaan itu apabila ditanya sama ada mereka akan menyiasatnya atau tidak. - Mkini

No comments:

Post a Comment