25 August 2017

Memali: Hadi salahkan pemimpin 'dulu'

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata insiden Memali berlaku kesan daripada salah laku pemimpin negara terhadap Islam.

Pada masa sama allahyarham Ibrahim Libya pula enggan menjadi "syaitan bisu" apabila mendengar serta membaca serta mendengar kenyataan menghina serta mempersenda Islam.

Dalam keadaan itu, kata presiden PAS berkenaan, ulama tidak lagi boleh berdiam diri.

"Mengikut ilmu maqasid syariah, salah laku terhadap agama lebih besar daripada salah laku kewangan kerana Islam meletakkan senarai kewajipan menjaga agama adalah yang pertama (sebelum diikuti dengan) menjaga nyawa, akal, keturunan, maruah dan yang terakhir menjaga harta.

"Semuanya disebut dharuriyyat, yakni keperluan hidup bagi manusia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Hadi mengulas mengenai desakan supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat kejadian berlaku 1985 lalu.

Abdul Hadi berkata ramai kalangan rakyat masih mengingati bagaimana sesetengah pemimpin kerajaan dulu mempersenda hukum Islam dan sunah Rasulullah SAW.

Antara contoh yang disebutnya ialah ramai orang akan cacat jika hukum hudud dilaksanakan, Rasulullah tidak mencukur janggut kerana pada zaman itu tidak ada pisau cukur, dan amalan menutup aurat adalah adat orang Arab yang bernafsu kuat.

Sekali lagi tanpa menyebut nama, kenyataan itu dilihat disasarkan kepada Dr Mahathir.

Abdul Hadi berkata apabila berlaku pertikaian dalam urusan agama pihak yang sepatutnya dihantar untuk berdepan dengan Ibrahim di Memali ialah agamawan, bukan anggota polis.

Mereka, katanya, perlu dihantar bertemu dengan Ibrahim untuk berhujah bagi mencari kebenaran.

"Polis dipaksa bertindak terhadap golongan agama yang terpaksa mempertahankan kesucian Islam yang dihina.

"Peristiwa yang menyebabkan berlakunya kematian dan tuduhan jenayah atau ajaran sesat perlu disiasat secara adil dan bebas demi mencari kebenaran, bukannya menegakkan kebatilan dan melibatkan semua pihak yang masih hidup," katanya sambil mengulangi tuntutan supaya RCI Memali ditubuhkan. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment