18 December 2016

JPN diminta bantu 5 anak pasangan guru

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta Jabatan Pendidikan Negeri Kedah membantu persekolahan lima anak pasangan
suami isteri yang maut akibat kemalangan di Pendang, malam tadi.

Pasangan tersebut, Mohd Padzil Rashid, 50, dan isterinya, Masmiwaza Mohd Noor, 42, masing-masing merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang, dan SMK Tobiar (Pendang).
"Kita mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan sangat sedih perkara ini berlaku, bagaimanapun saya telah meminta JPN membantu anak-anak yatim ini agar tidak tercicir daripada persekolahan," katanya kepada pemberita di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar hari ini.

Terdahulu, Mahdzir diiringi Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Azuyah Hassan, meluangkan masa bertemu keluarga dan rakan-rakan mangsa di Unit Forensik, HSB.

Kejadian berlaku pukul 11.30 malam ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Titi Haji Idris menghala ke rumah mereka di Taman Setia, Pendang, sebelum MPV dinaiki mereka terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah treler.

Kemalangan turut mengakibatkan lima anak pasangan terbabit parah iaitu Masyitah, 12; pasangan kembar Muhammad Asyraf dan Muhammad Akmal, 11; Munirah, 6, serta Maisarah, 14. -Bernama


Berita Terdahulu...


Suami isteri maut, 5 anak parah MPV bertembung treler

Sepasang suami isteri maut manakala lima anak mereka parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Jalan Alor Punti, Pendang, dekat Alor Setar malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Fadzil Hashim berkata dua mangsa yang maut itu ialah pemandu kenderaan jenis Perodua Alza iaitu, Mohd Padzil Rashid, 50, dan isterinya, Masmiwaza Mohd. Noor, 42.

Katanya lima anak mereka yang parah ialah Masyitah, 12; pasangan kembar iaitu Muhammad Asyraf dan Muhammad Akmal, 11; Munirah, 7, dan Maisarah (belum diketahui umur).

Menurutnya Mohd Padzil dan Masmiwaza merupakan guru masing-masing bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang dan SMK Tobiar.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Titi Haji Idris menghala ke rumah mereka di Taman Setia, Pendang.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila MPV tersebut terbabas ke laluan
bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler.

"Pemandu maut di tempat kejadian manakala penumpang hadapan (isterinya) meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital," katanya ketika dihubungi.

Fadzil berkata mangsa yang terkorban dan semua anak mereka yang parah itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan sehingga kini tiada sebarang unsur
khianat atau jenayah," katanya. -Bernama

No comments:

Post a Comment