KUALA LUMPUR - Sebanyak 140 kontrak dengan nilai keseluruhan RM38
bilion, dianugerahkan kepada kontraktor dari China sejak 2010 hingga
Oktober lepas, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata
daripada jumlah itu hanya tiga kontrak sahaja melibatkan kontrak
kerajaan, bernilai RM885 juta, manakala bakinya melibatkan projek
swasta.
"Kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek terbabit memberi manfaat
kepada kontraktor-kontraktor tempatan serta pengusaha industri kecil dan
sederhana.
"Pada masa sama, Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, sedang merangka
mekanisme supaya syarikat asing, termasuk dari China, yang melaksanakan
projek kerajaan turut menggunakan bahan mentah tempatan seperti besi
keluli," katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.
Rosnah menjawab pertanyaan Senator Datuk Kadzim M Yahya mengenai jumlah
dan nilai kontrak kerajaan yang dilaksanakan oleh kontraktor dari China.
Beliau bagaimanapun berkata tidak semua projek di negara ini disyaratkan
menggunakan komponen atau bahan tempatan sepenuhnya memandangkan ada
bahan binaan tertentu masih perlu diimport. - Bernama
No comments:
Post a Comment