03 January 2016

Rayani Air bakal lantik mursyidul am PAS sebagai penasihat

Rayani Air yang berazam meluaskan pengaruh mereka sebagai syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang berlandaskan konsep patuh syariah bakal melantik Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din sebagai penasihat.

Sekiranya veteran PAS itu bersetuju, beliau akan berperanan menasihati Rayani Air tentang bagaimana melaksanakan konsep patuh syariah yang sebetulnya mengikut lunas Islam, kata pengarah urusannya Jaafar Zamhari.

"Kami bercadang, apabila beliau sudah cukup rehat, maka kami akan berjumpa dengannya untuk menjadikan beliau sebagai penasihat," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan The Malaysian Insider.


 "Beliau akan menasihati kami, seperti bagaimana hendak melaksanakan konsep patuh syariah ini, dan ia meliputi segala segi," katanya yang juga bekas timbalan pengarah pengangkutan udara Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
Beliau mengakui, cabaran dihadapi Rayani Air dalam mengangkat konsep patuh syariah agak sukar kerana industri penerbangan belum pernah melaksanakan pensijilan yang mengikut garis panduan ajaran Islam itu.

"Kami yang pertama melaksanakan idea itu kerana dalam industri penerbangan tidak ada lagi sijil pengiktirafan garis panduan syariah. Itu yang kita cuba hendak lakukan," katanya.

Sehubungan itu, Jaafar berkata Rayani Air juga bakal mengadakan kerjasama dengan Royal Brunei Airlines bagi memperkasakan konsep patuh syariah dalam industri itu.

Rayani Air melancarkan penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Langkawi pada 20 Disember tahun lalu.

Sambil ia merupakan syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia, di peringkat dunia, konsep sama sudah lama diguna pakai syarikat penerbangan lain seperti Royal Brunei Airlines, Saudi Arabian Airlines dan Iran Air.

Rayani Air memperkenalkan imejnya sebagai syarikat penerbangan patuh syariah mewajibkan anak kapal kabinnya memakai tudung bagi yang beragama Islam, menyediakan makan minum daripada sumber halal, melarang minuman keras dan mengamalkan bacaan doa sebelum memulakan penerbangan.

Mempunyai 355 kakitangan, 8 juruterbang dan 50 petugas anak kapal kabin, nama Rayani Air merupakan hasil gabungan nama pemilik syarikat penerbangan itu iaitu Ravi Alegandrran dan isterinya Karthiyani Govindan.

Sejak pelancaran penerbangan sulungnya, Rayani Air mencetuskan fenomenanya tersendiri apabila konsep patuh syariah yang dilaksanakan syarikat itu menerima pelbagai reaksi dan menjadi tumpuan dunia.

Pada masa sama, Jaafar menolak dakwaan yang syarikat penerbangan itu sengaja mengguna pakai konsep patuh syariah bertujuan mengguna nama Islam untuk meraih keuntungan.

Sebaliknya, beliau menegaskan, kewujudan syarikat penerbangan tersebut adalah berdasarkan permintaan.

"Sebagai contoh, pemilik syarikat minuman Yeo's adalah orang Cina. Mereka mendapatkan sijil halal, tapi adakah dia menjual maruah agama? Saya rasa tidak.

"Sama juga dengan kami. Kerana, ramai orang Islam sudah semestinya inginkan minuman halal. Bagi saya, ia bermakna menjadikan sesuatu pasaran lebih besar," katanya.

Sesetengah pengkritik turut menuduh Rayani Air sebagai satu penipuan atau "tidak cukup halal", tetapi Jaafar menegaskan, buat masa ini tiada garis panduan yang menentukan apa yang ditakrifkan sebagai sebuah syarikat penerbangan patuh syariah.

"Yang paling dekat kita ikut, ialah sijil halal.

“Maaf kalau saya katakan ini. Ada orang Islam kita sendiri, cakap mengenai patuh syariah, tetapi tidak melaksanakannya. Tetapi sekarang, kami melaksanakan," katanya.

Dalam reaksi segera kepada rancangan Rayani Air melantiknya sebagai penasihatnya, Haron berkata, beliau belum menerima sebarang pelawaan.

"Saya belum terima lagi, saya tak boleh komen. Nanti orang kata mengada-ngada. Biar bincang dulu, lepas itu saya komen, Insya-Allah," katanya ketika dihubungi.

'Lihat itu percaya'

Sementara itu, mengulas mengenai pelbagai reaksi orang ramai terhadap Rayani Air, Jaafar berkata syarikat penerbangannya mengambil pendekatan “lihat dan percaya” (seeing is believing) sebagai salah satu cara menangani tanggapan skeptikal.

Beliau berkata, pengguna termasuk yang bukan Islam, akan merasai sendiri dan berkongsi pengalaman mereka mengikuti penerbangan Rayani Air yang menerapkan konsep patuh syariah dalam amalannya.

"Kami percaya rakyat Malaysia amat berpengetahuan dan memahami keperluan semasa sendiri dan boleh bertolak ansur sesama kaum. Secara prinsipnya, kami yakin dalam hal ini.

"Tetapi, kami tidak menolak ada segelintir yang skeptikal dengan konsep ini dan rasa takut untuk sertai kami. Apa yang kami katakan, Rayani Air terbuka kepada berbilang kaum.

"Seperti contoh, ramai yang bertanya kami, bolehkah orang bukan Islam berseluar pendek menaiki Rayani Air? Saya kata, sudah tentu boleh.

"Kerana, sebagai seorang Islam, apabila rumah kita didatangi kawan, sebagai tuan rumah menjadi tanggungjawab kita terima kehadiran mereka. Sama juga dengan syarikat penerbangan ini," katanya.

Malah, katanya skeptikal mengenai syarikat penerbangan Rayani Air bukan saja di kalangan masyarakat bukan Islam di negara ini, malah meluas kepada masyarakat antarabangsa.

"Seperti di Tanah Arab, negara Islam, mereka menyambut baik konsep yang kami bawa. Tetapi kalau bukan Islam, mereka agak skeptikal dan ada mengaitkan kita dengan pengganas Isis (Negara Islam Iraq dan Syria).

"Bagi kami, itu pendapat mereka. Kefahaman mereka mengenai konsep kita agak kurang, dan kami mengambil cabaran itu untuk menerangkan kepada mereka," katanya.

Persaingan untungkan pengguna

Jaafar berkata, beliau melihat kewujudan Rayani Air dalam industri penerbangan mencetuskan fenomena positif dengan mewujudkan daya saing dan memberi kelebihan kepada pengguna.

"Kami menghormati kewujudan syarikat penerbangan sedia ada. Kewujudan Rayani Air merupakan satu lagi pilihan untuk pelanggan, di mana kami menawarkan suatu kelainan.

“Kami sebuah perkhidmatan yang berkonsepkan patuh syariah, ia teras perniagaan kami. Dan terpulang kepada rakyat Malaysia untuk buat pilihan.”

Katanya, Rayani Air yang kini sudah mula beroperasi dengan penerbangannya ke Langkawi dan Kota Baru bakal melebarkan sayapnya ke Kota Kinabalu dan Kuching bulan depan.

Beliau menjangkakan Rayani Air akan berkembang dalam tempoh 5 tahun dan pada Mac, ia bakal menambah bilangan kapal terbangnya.

"InsyaAllah pada bulan Mac kami akan tambah kapal terbang ketiga dan akan tambah frekuensi serta destinasi sedia ada bagi penerbangan domestik.

"Apabila kapal terbang keempat masuk, kami akan menggunakannya bagi penerbangan ke negara jiran seperi Jakarta, Phuket, Manila, India dan sebagainya.

"Dan selepas 2 tahun, kami akan gunakan kapal terbang lebih besar bagi memulakan perkhidmatan antarabangsa, termasuk mensasarkan kepada penerbangan umrah," katanya menceritakan perancangan terdekat mereka. – TMI

4 comments:

  1. padan muka kau AMANAH, tengok inilah labanya jadi penasihat. ini adalah permulaan, selepas ini najib offer seribu penasihat kepada orang yang setia dengan presiden PAS.
    bergoyang iman kau Tuan Brahim, pada muka kau Deris Ahmad.

    ReplyDelete
  2. Tak nak lantik hj hadi ka...
    he5
    lagi bengong la syarikat flight tu jadinya nnt

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nak jadi sebagai penumpangnya mesti kena wala' al rembat kayu balak,flip flop,

      Delete
  3. Tambang lebih murah dari AirAsia dan x putar belit macam orang india, bolelah dipertimbangkan.

    ReplyDelete