05 October 2015

Sekian lama tertangguh, HSA terima pesakit hari ini

Setelah pembinaan Hospital Shah Alam (HSA) tertangguh selama hampir 10 tahun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengumumkan hospital tersebut menerima pesakit pertamanya hari ini.
Melalui akaun Twitter miliknya @DGHisham lebih kurang sejam lalu, Noor Hisham menulis: “Hospital Shah Alam received its first patient this morning (Hospital Shah Alam menerima pesakit pertamanya pagi ini)."

Pembinaan HSA di Seksyen 7, Shah Alam itu bermula pada 15 November, 2007 tetapi gagal disiapkan mengikut jadual pada 2011, menyebabkan kontraktor baharu dilantik pada tahun sama untuk menyiapkannya.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam pada Oktober tahun lepas, pihaknya ketika itu sedang giat menjalankan proses pentauliahan peralatan dan kelengkapan perubatan bagi HSA.

Katanya, 2,300 bilik dan ruang di kompleks kesihatan yang menelan belanja RM410 juta itu memerlukan pemeriksaan teliti termasuk proses percubaan peralatan bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

Terbaru pada Ogos lalu, HSA dilaporkan akan mula beroperasi secara berperingkat pada pertengahan Oktober ini.

Subramaniam berkata, perkhidmatan hospital akan dimulakan dengan pembukaan klinik pakar dan hemodialisis. – 5 Oktober, 2015.

No comments:

Post a Comment