21 October 2015

Penguat kuasa tagih wang haram

PUTRAJAYA – Harap­kan pagar, pagar makan padi. Demikian tindakan 15 pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan seorang pegawai polis yang mengambil rasuah daripada tauke-tauke rumah urut yang beroperasi di sekitar Selangor.

Tindakan tidak amanah dan jahat kumpulan penguat kuasa terbabit terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang me­lakukan penyamaran dan risikan menerusi Ops Pantul berjaya memberkas 15 pegawai PBT dan seorang pegawai polis berpangkat inspektor.

Semua 15 pegawai PBT itu bertugas di dua buah PBT di Selangor manakala pegawai polis terbabit pula memegang jawatan sebagai Ketua Polis Balai di negeri sama.

Turut diberkas dalam Ops Pantul itu ialah seorang orang awam yang dipercayai menjadi orang tengah kepada pegawai penguat kuasa yang diberkas.

Suspek-suspek yang berusia 20-an hingga 50-an itu didakwa menerima suapan antara RM200 hingga RM600 sebulan bagi setiap seorang melibatkan pusat-pusat urut haram yang setakat ini didapati diuruskan dua tauke. Bagaimanapun, bagi mendapatkan lesen membuka pusat urut, pemohon dikatakan perlu membayar wang rasuah antara RM30,000 hingga RM60,000.

“Transaksi wang ra­suah itu berlaku sama ada penguat kuasa itu ketika melakukan ‘lawatan’ ke premis-premis tersebut atau tauke-tauke pusat urut itu memasukkan wang ke dalam akaun suspek,” kata satu sumber SPRM di sini semalam. - Kosmo

1 comment: