14 October 2015

PAS-PERKASA kerjasama, Hadi-Ibrahim berpelukan

PAS hari ini mengumumkan parti Islam itu kini bersetuju bekerjasama dalam tiga isu dengan kumpulan pendesak Melayu PERKASA.

Perkara tersebut diumumkan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini selepas mereka bersetuju beberapa perkara termasuk mengutuk Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Kedua-dua pihak itu juga sepakat menolak tangkapan terhadap bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang.

Dalam kenyataan bersama itu Abdul Hadi berkata kedua-dua isu kritikal ini mempunyai kesan yang serius kepada rakyat Malaysia.

"Kami bimbang bahawa penggunaan Sosma dalam kes ini boleh dilihat sebagai penyalahgunaan kuasa serta bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan.

"Kami menggesa kerajaan untuk menjadi telus dan tidak berbohong mengenai isu TPPA kepada orang ramai," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Tujuh tokoh penting BN, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah, mengadakan sidang media bersama menolak penahanan itu.

Mereka mendakwa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) disalah guna terhadap pengkritik selepas Khairuddin membuat laporan di peringkat antarabangsa berkaitan dakwaan skandal 1MDB.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini menjelaskan Khairuddin dan Matthias Chang didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan bukannya bawah Sosma.

Sementara itu, ketika bergambar, Ibrahim turut memeluk Hadi dengan berkata mereka kini berkawan dan tidak cukup dengan berjabat tangan.

Tak sejajar dengan parti sekular

Sementara itu, Ibrahim berkata beliau gembira dengan kerjasama tersebut di mana kedua-dua pihak dapat melakukan aktiviti bersama selain menyokong perjuangan masing-masing untuk manfaat rakyat.

"Kami mempunyai perbincangan yang sangat jelas, terbuka dan ikhlas dan saya juga menjelaskan mengapa saya kritikal terhadap PAS sebelum ini.

"Sekarang kita kosong-kosong. Semuanya kini di belakang kami," katanya bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu.

Selain itu, Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada PAS kerana memutuskan hubungan dengan DAP.

Katanya, matlamat untuk mempertahankan Islam tidak sejajar dengan hala tuju parti sekular. - Mkni


No comments:

Post a Comment