16 September 2015

Kren tumbang: Raja Arab Saudi beri pampasan RM1j

JEDDAH - ARAB SAUDI. Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dilaporkan telah bersetuju untuk membayar pampasan kepada semua mangsa yang terlibat dalam nahas kren runtuh di Masjidil Haram petang Jumaat lalu.

Memetik laporan Saudi Press Agency, nilai pampasan ini dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu kepada jemaah yang meninggal dunia, jemaah yang cedera hilang keupayaan kekal dan jemaah yang hanya mengalami kecederaan biasa.

Bagi jemaah yang meningga dunia dan jemaah yang hilang keupayaan kekal, mereka akan dibayar SR1 juta(RM1.14juta) sementara yang mengalami kecederaan yang membolehkan mereka pulih seperti biasa pula akan diberi pampasan sebanyak  SR500,000 (RM565,000).

Menurut laporan itu, tindakan Raja Salman berbuat demikian adalah untuk membantu keluarga jemaah yang terkorban selain sebagai bantuan kepada mereka untuk menuntut hak di mahkamah.

Selain itu, bagi jemaah yang meninggal dunia, dua orang waris mereka akan dijemput sebagai tetamu diraja untuk menunaikan ibadah haji untuk musim haji 1437H iaitu tahun depan.

Tempoh visa waris yang masih menjaga ahli keluarga mereka di hospital di Arab Saudi juga akan dilanjutkan sehingga tamat tempoh haji atau sehingga kembali ke negara asal mereka.

Dalam kejadian pada petang Jumaat lalu, sekurang-kurangnya 107 jemaah haji terkorban apabila sebuah kren runtuh di Masjidil Haram.

Sehingga kini, Tabung Haji yang beroperasi di Makkah sedang mengesan dua lagi jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang iaitu Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah.

Empat jemaah haji Malaysia yang terkorban ialah Rusiah Suar, 56, yang berasal dari Sungkai, Perak; Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan); Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (Tanah Merah, Kelantan) dan Zainun Taha, 69, dari Ampang Selangor. - SH

No comments:

Post a Comment