29 September 2015

Bukan semua pengundi Cina sokong DAP, kata PAS

Bukan semua pengundi daripada masyarakat Cina menyokong DAP, dakwa Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata ini berdasarkan kaji selidik dijalankan PAS selepas parti itu mengesahkan  memutuskan hubungan dengan DAP pada muktamar tahunannya Jun lepas.

"Jangan ada tanggapan semua orang Cina sokong DAP ... DAP juga tidak boleh menganggap dia mendapat sokongan (100%) daripada masyarakat Cina (ketika  ini)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darul Naim, Kota Baru, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu selepas PAS tidak menyertai Pakatan Harapan yang ditubuhkan pada minggu lepas dan dianggotai PKR, DAP dan parti yang dalam proses didaftarkan Parti Amanah Negara (Amanah).

Amar mendakwa bukan semua masyarakat Cina marah kepada PAS selepas parti itu tidak lagi menjalin sebarang kerjasama dengan DAP.

"Dalam konteks masyarakat Cina di Kelantan, masih elok hubungan (masyarakat itu) dan (mereka) masih menyokong PAS. (Ia berdasarkan) kaji selidik yang kita buat.

"Ada (dakwaan) yang cakap bila PAS berpecah dengan DAP sekali gus menyebabkan masyarakat itu menolak PAS, itu tidak betul. Bukan semua yang marah kepada PAS," katanya.

Ditanya mengenai hasrat Amanah untuk bertanding di 6 kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk Parlimen Kuala Krai, Amar berkata segala kenyataan yang dibuat oleh pihak penaja parti itu adalah bohong semata-mata.

"Dulu dia (Amanah dakwa) tidak akan ganggu PAS di Kelantan. Kalau betul-betul mereka nak bantu PAS, dia patut biar PAS (sahaja) bertanding di Kelantan," katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment