Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
akan menyoal siasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung
derma yang diterimanya.
Dalam kenyataan dikeluarkan agensi itu hari ini, SPRM juga berkata,
mereka sudah mendapatkan penjelasan daripada penderma yang berasal dari
Timur Tengah.
Pihak berkaitan, kata kenyataan itu, mengesahkan sumbangan derma berkenaan.
"Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB," kata SPRM
SPRM berkata, seperti pernah dinyatakan beberapa kali ebelum ini,
siasatan badan penguatkuasa itu tiada kaitan dengan 1MDB, sebaliknya isu
itu ditangani oleh polis.
Mengenai sumbangan yang menjadi tumpuan ramai ketika ini, SPRM berkata
mereka tidak boleh mendedahkan identiti pihak penderma dana RM2.6 bilion
Najib.
Dapat penjelasan
Bagaimanapun kata SPRM, pegawai agensi itu memperoleh penjelasan
daripada penderma dan butiran pihak terbabit diketahui melalui dokumen
yang diambil dari bank.
Kenyataan itu menyebut, ada empat surat diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke akaun Najib.
"Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma.
"SPRM telah mendapatkan penjelasan daripada pihak penderma yang berasal
dari Timur Tengah dan pihak berkaitan juga telah mengesahkan sumbangan
derma tersebut.
Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB," katanya.
Hasil perbincangan dengan Peguam Negara Malaysia, SPRM diminta membuat
penjelasan mengenai perkara itu sementara siasatan masih dijalankan.
"Sehubungan itu, SPRM juga memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak akan diminta untuk memberi penjelasan mengenai
sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM," kata kenyataan itu.
Jalan siasatan masing-masing
Kenyataan sama juga menjelaskan siasatan berkenaan isu SRC International
yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan oleh SPRM.
Namun SPRM menekankan, siasatan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International adalah dua perkara berbeza.
"Oleh itu, SPRM menekankan bahawa SPRM tidak pernah menyatakan kes
disiasat ini telah ditutup, sebaliknya hanya menyatakan ia bukan dari
wang 1MDB," katanya.
Sementara itu SPRM juga mengesahkan pasukan petugas khas yang ditubuhkan
sebelum ini terbubar selepas mendapat nasihat peguam negara.
Kenyataan sama menyebut, agensi yang terlibat dalam penyiasatan isu
berkenaan boleh menjalankan tugas masing-masing berdasarkan
undang-undang berkaitan.
"Di peringkat SPRM, pasukan petugas khas dalaman bagi menyiasat kes SRC
International dan sumbangan derma RM2.6 bilion masih diteruskan.
"Agensi masing-masing mempunyai pasukan petugas khas dalaman mereka
sendiri dan akan mengemukakan hasil siasatan kepada Peguam Negara
Malaysia untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di
mahkamah ataupun sebaliknya," katanya. - Mkini
Penderma tu ........... ialah ............ Ahmad Albab yang punya ..... habis cerita.
ReplyDelete