04 August 2015

Kenapa pecat Muhyiddin, Gani, jika RM2.6 bilion cuma derma, soal PAS

PAS hari ini mengajukan 10 soalan yang perlu dijelaskan susulan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan mendesak Najib menjelaskan mengapa beliau mengambil masa yang begitu lama menjelaskan berkenaan derma itu.

"Mengapa Najib mengambil masa sebegitu lama untuk menjawab persoalan ini, lebih-lebih lagi setelah pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Gani Patail serta penahanan beberapa pegawai Bank Negara dan SPRM berkaitan dengan kebocoran maklumat siasatan?" soalnya.

Beliau merujuk kepada Muhyiddin yang digugurkan dari Kabinet sebagai timbalan perdana menteri pada 28 Julai dan Gani yang digantikan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara berkuatkuasa 27 Julai.

Tuan Ibrahim turut menggesa agar dermawan yang menyumbangkan wang itu ke dalam akaun Najib didedahkan, serta syarat-syarat yang dikenakan ke atas penerimaan derma itu dinyatakan.

"Siapa penderma yang sebegitu murah hati? Mengapakah akaun itu ditutup jikalau ia dianggap bukan satu kesalahan?

"Apakah syarat-syarat derma RM2.6 bilion? Susah dibayangkan derma sebesar ini dilakukan tanpa syarat ke akaun Perdana Menteri," katanya.

Tuan Ibrahim turut menyenaraikan 6 lagi persoalan untuk dijelaskan:

* Apakah ini derma dan bukan rasuah untuk habuan tertentu? Apakah siasatan SPRM melihat kepada perkara ini?

* Apakah ini sekadar permainan perakaunan?

* Jika betul ia bukan duit 1MDB, mengapa sehingga kini saman kepada The Wall Street Journal (WSJ) masih tertangguh?

* Ketika wang derma dimasukkan ke akaun Najib, apakah Ambank memaklumkan perkara ini kepada Bank Negara?

* Mengapa Lembaga Hasil Dalam Negeri berdiam diri apabila ada akaun perseorangan yang memiliki dana sebanyak RM2.6 bilion?

* Apakah peranan Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil? Apakah polis mengetahui di mana beliau berada?

Petang tadi, SPRM mengatakan RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri merupakan sumbangan penderma, bukan dari syarikat berkaitan 1MDB seperti didakwa pihak tertentu.

"Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.

"Hasil siasatan mendapati, dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik perdana menteri adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB," kata SPRM.

Ia juga menerangkan, semasa Pasukan Petugas Khas ditubuhkan, siasatan SPRM hanya memfokuskan ke atas isu berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd dan kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib itu.

Manakala, pihak Polis Diraja Malaysia pula katanya, menjalankan siasatan berkaitan dengan 1MDB, sementara Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan berkaitan dengan kaedah dan tatacara kewangan.

Awal bulan lalu The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan kira-kira AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan di antara agensi kerajaan, bank dan entiti yang berkaitan dengan 1MDB dan berakhir di akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.

Najib menafikan dakwaan itu dan mendakwa ia konspirasi politik pihak lawan termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi WSJ menegaskan siasatan mereka berlandaskan dokumentasi kukuh. - TMI

Nampak lebih cerdik.

No comments:

Post a Comment