17 August 2015

Bersekongkol pembangkang tidak boleh dimaafkan

TAPAH - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana pemimpin Umno yang didapati bersekongkol dengan ahli Parlimen pembangkang dalam cubaan mengguling kerajaan tidak boleh dimaafkan. 
   
"Saya tidak tahu siapa dalang pemimpin Umno berkenaan dan tidak pasti mengenainya. Hanya Timbalan Perdana Menteri yang tahu mengenai perkara tersebut. Kita tunggu sahaja pengumuman daripada beliau sendiri. 
 
"Sebagai ahli Umno, kita amat kesal dan kecewa dengan pemimpin yang terlibat dengan gerakan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tapah. 
 
Turut hadir ketua Umno bahagian itu, Datuk Samsuddin Abu Hassan serta Ahli Parlimen Tapah yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan. 
 
Ismail Sabri, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, turut mengingatkan Ahli Parlimen BN agar tidak termakan pujuk rayu pihak tertentu yang menawarkan wang tunai untuk menyertai rancangan terbabit. 
 
"Memandangkan pemimpin pembangkang tidak yakin pemimpin daripada Pas akan menyokong gerakan itu, pastinya usaha memujuk Ahli Parlimen BN akan dilakukan dengan sedaya upaya," katanya. - Bernama

1 comment:

  1. Hi Bro, makan rasuah boleh dimaafkan ke? Hahaha.

    ReplyDelete