04 July 2015

Tuduhan terhadap Najib boleh jejas ekonomi, nilai ringgit, kata menteri

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah meminta pihak tidak bertanggungjawab berhenti melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara.
Beliau berkata ini kerana ia boleh mencetuskan sentimen yang tidak baik dalam kalangan pelabur dan seterusnya menurunkan nilai mata wang negara.

"Perlu lebih rasional dalam konteks kita menghadapi masa depan negara ini... tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja mensabotaj ekonomi tetapi juga menjejaskan masa depan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan zakat kepada penduduk Kampung Cik Zainal Tambahan Satu, Chemor, Ipoh hari ini.

Katanya, tindakan Najib menjawab dengan pantas terhadap laporan The Wall Street Journal yang mendakwa kononnya kira-kira RM2.6 bilion dana 1MDB dimasukkan ke akaun peribadinya, menunjukkan beliau seorang yang berintegriti.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam berkata laporan itu merupakan "sabotaj politik" yang berterusan dan yakin terdapat usaha bersepadu oleh individu tertentu untuk memburukkan kerajaan dan menyingkirkan perdana menteri yang dipilih secara demokrasi.

Semalam, 1MDB menjelaskan yang syarikat itu tidak pernah menyalurkan sebarang dana kepada Najib.

Pendedahan terbaru itu membangkitkan kebimbangan mengenai kesahihan beberapa dokumen "bocor" yang digunakan beberapa saluran media dan blog dalam talian seperti Sarawak Report bagi memperdayakan orang ramai selain mewajarkan tuduhan yang dibuat terhadap syarikat ini serta kerajaan. – Bernama

No comments:

Post a Comment