08 July 2015

Najib sahkan arah peguam teliti dokumen WSJ

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan beliau telah mengarahkan peguamnya untuk meneliti laporan dan dokumen yang didedahkan Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

Beliau melalui peguamnya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak mahu pengesahan itu pendirian media antarabangsa itu sebelum mengambil tindakan undang-undang.

"Saya telah mengarahkan pihak peguam saya menghantar surat kepada WSJ hari ini bagi meminta pengesahan mengenai laporan surat akhbar tersebut sebelum mengambil tindakan undang-undang (surat tuntutan).

"Surat peguam tersebut meminta WSJ mengesahkan pendirian akhbar tersebut berikutan laporan yang telah dibuat menuduh saya menyalahgunakan dana AS$700 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya dalam posting terbaru di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Perdana Menteri hari ini mengarahkan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak untuk meneliti artikel yang diterbitkan The Wall Street Journal bertajuk ‘Malaysia Leader's Accounts Probed’.

Mengulas lanjut, Najib berkata selepas pengesahan dibuat, peguamnya akan mengambil tindakan selanjutnya.

"Siasatan mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang telah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut.

"Meskipun begitu, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri," tulisnya.

Najib juga menyifatkan tuduhan yang dilemparkan WSJ ke atasnya sebagai berniat jahat yang disokong oleh pihak tertentu dalam negara bagi memaksanya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. - SH

No comments:

Post a Comment