SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu
kenyataan hari ini mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Abdul Hadi
Awang serta kepada saf kepimpinan Pas yang telah dipilih bagi penggal
baharu 2015-2017.
Katanya bagi pihak PKR, mereka menerima baik ucapan dasar Presiden Pas
yang menegaskan perlunya istiqamah dalam perjuangan menentang kezaliman
di Malaysia dan prinsip tahaluf siyasi yang terus menjadi teras bersama
rakan-rakan seperjuangan di dalam PR.
“Perjalanan kita masih jauh, dan pelbagai cabaran, dugaan dan fitnah
politik jahat rekayasa musuh perlu kita tempuhi bersama dalam semangat
persaudaraan dan kekeluargaan.
“Walau kita telah berjaya memperoleh 52% undi popular dalam PRU13 yang
lalu, tetapi waqie politik tanah air memerlukan kita bersatu tenaga dan
usaha.
“Dengan berpegang kepada prinsip musyawarah serta Dasar Bersama Pakatan
Rakyat, insya-ALLAH kita akan dapat menyelesaikan masalah dan akhirnya
mengalahkan musuh politik utama kita yakni Umno-BN,” katanya dalam satu
kenyataan media hari ini.
Katanya lagi, oleh itu, PR perlu melihat kepada titik-titik pertemuan
yang dapat membina harapan untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Kerana kita dibelenggu masalah dari GST, harga barang yang meningkat,
hutang negara yang membengkak, rasuah dan kezaliman rejim yang kian
menjadi-jadi, serta ketiadaan kepimpinan moral dalam pelbagai isu yang
dihadapi negara.
“Oleh itu Yang jauh, marilah kita dekatkan. Yang keruh, marilah kita
jernihkan. Yang batil, marilah kita terus lawan, demi Malaysia yang
lebih baik,” katanya. - SH
No comments:
Post a Comment