Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang
membawa tiga parti berlainan ideologi duduk semeja - kekal optimis
dengan masa depan pembangkang sekalipun Pakatan Rakyat sudah berkubur.
Beliau, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun, percaya
pembangkang akan lebih kuat selepas "disusun semula dengan kekuatan
baru".
"Saya percaya bahawa Pembangkang, setelah disusun semula dengan kekuatan
baharu termasuk NGO-NGO, akan muncul bersatu dan lebih kuat selepas
ini.
"Yakinlah, saya tidak akan sesekali meninggalkan perjuangan ini selagi
nyawa dikandung badan," katanya dalam satu perutusan melalui peguamnya
yang diedarkan oleh PKR.
Sedar beberapa perkara berlaku mutakhir ini, Anwar berkata niat dan
semangat pembangkang untuk menyelematkan Malaysia daripada dakwaan
kepincangan tatakelola dan autoritarianisme BN terus utuh.
Beliau berkata tekanan dan ketegangan dalam Pakatan Rakyat adalah fitrah
sebuah gabungan politik yang telus dan demokratik dan tidak bermakna ia
tidak boleh diselesaikan dan mengatasi masalah yang dihadapi.
"Kita sekarang sedang berusaha untuk menjalin kesepakatan yang lebih
kukuh dan yang kekal, supaya rakyat dapat diberi khidmat yang lebih
baik.
"Pada masa yang sama, walau apa pun, pembangkang masih berfungsi dan
teguh di peringkat kerajaan-kerajaan negeri dan Parlimen," katanya .
Sehubungan itu, beliau menggesa teman-teman seperjuangan di dalam parti
pembangkang dan juga rakyat untuk terus bergerak dalam perjuangan
sehingga kemenangan dikecapi dan Malaysia diselamatkan. - Mkini
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete