KUALA SELANGOR – PAS akan terus melaksanakan tahaluf siyasi atau
kerjasama politik bersama Pakatan Rakyat, walaupun parti itu diserang
siang dan malam oleh rakan sekutunya dalam pakatan itu.
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata walaupun parti lain
dalam pakatan memperjuangkan perlembagaan sekular, yang bercanggah
dengan perjuangan PAS, namun PAS tetap meneruskan tahaluf siyasi selagi
mana ia tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah.
“Sebagaimana yang berkali-kali diperjelaskan sebelum ini, bahawa PAS
melaksanakan tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat adalah dalam
perkara-perkara yang dipersetujui bersama…agenda ini kita rangkakan
sebagai panduan, sebagai perkara yang dipersetujui dalam polisi Pakatan
Rakyat.
“Perjuangan yang menjadi agenda yang berbeza yang sudah tentunya
tiada dalam polisi bersama, adalah menjadi perjuangan parti
masing-masing,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan
Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-61 di sini hari ini.
Katanya, walaupun parti rakan Pakatan Rakyat memperjuangkan
perlembagaan sekular, PAS tidak pernah meminta mereka mengkaji dan
membawa dasar sekular ini dalam perbincangan.
Sambil tidak menamakan parti tersebut, Abdul Hadi berkata PAS juga
tidak pernah mencampuri urusan kepimpinan dalam parti lain yang berada
dalam Pakatan Rakyat.
Katanya, aspek tahaluf siyasi merupakan dasar yang telah melalui satu
perbincangan para ulama dan diterima oleh parti itu sejak berpuluh
tahun lalu dan telah melakukan beberapa bentuk kerjasama politik.
PAS sebelum ini dikritik hebat sekutunya dalam Pakatan Rakyat iaitu
DAP yang tidak senang dengan cadangan parti Islam itu untuk melaksanakan
hudud di Kelantan kerana dikatakan bertentangan dengan polisi Pakatan
Rakyat.
Krisis kedua-dua parti itu bertambah getir apabila DAP sebelum ini
mengumum memutuskan hubungan kerjasama dengan Abdul Hadi tetapi tidak
dengan PAS dan tidak mahu terlibat dalam Muktamar PAS kali ini.
Tiada wakil DAP hadir pada majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS yang
berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, sementara
sebuah lagi parti dalam Pakatan Rakyat, PKR diwakili Timbalan
Presidennya Mohamad Azmin Ali.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menyentuh mengenai pelaksanaan
undang-undang hudud dan menafikan parti itu bersikap gopoh dalam
melaksanakan undang-undang tersebut kerana ia merangka undang-undang itu
sekian lama.
Maka, katanya parti itu menolak mereka yang tidak mahu memberikan jalan kepada pelaksanaan hukum Islam itu.
“Jangan siapa yang menyekat perjuangan kami atau memesongkan
perjalanan kami secara berterangan atau menipu helah dengan cara
mengikat PAS supaya tidak bergerak ke hadapan dalam membawa agenda
Islam,” katanya.
Abdul Hadi menegaskan kerajaan Kelantan pimpinan PAS wajib
mengusahakan pelaksanaan hudud kerana ia desakan umat yang sudah ingin
kembali kepada Islam.
Lebih seribu perwakilan menghadiri muktamar itu dan tengah hari ini
mereka akan menentukan barisan kepimpinan PAS bagi sesi 2015-2017 dalam
sesi pemilihan. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment