05 June 2015

Najib hilang peluang, kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa kehilangan peluang berharga apabila beliau gagal muncul pada program dialog untuk menjelaskan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika Najib hadir  dan menjelaskan isu tersebut, beliau dapat memulihkan sokongan rakyat terhadapnya termasuk ahli parti.


"Dia (Najib) hilang peluang untuk memenangi semula sokongan kepada dirinya sendiri, jelaskan semua perkara, tiada duit yang hilang, apa yang hilang itu benar, sini peluangnya, tapi dia hilang peluang itu," katanya kepada pemberita selepas Dialog PM bersama NGO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ketidakhadiran Najib pada program berkenaan skandal pelaburan oleh 1MDB anjuran Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (Sukaguam), hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga mendakwa kegagalan Bank Negara Malaysia dalam menjelaskan 'kehilangan' dana RM42 bilion menguatkan andaian bahawa 1MDB merahsiakan sesuatu.

"Semua ini berlaku secara pelik, disembunyi, rahsia, termasuk Bank Negara berasa tidak dapat menjelaskan perkara ini kerana rahsia.

"Semua ini nampak sangat pelik, orang yang buat laporan, orang itu yang kena siasat, bukan subjek itu disiasat, orang yang buat laporan itu dianggap sebagai penjenayah. Ini pelik di negara kita tak patut berlaku," ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Dr Mahathir lagi, kegagalan Najib itu juga tidak membantu memulihkan keyakinannya terhadap Presiden Umno itu malah jauh sekali untuk menyokongnya.

"Saya datang ke sini untuk mendengar penjelasan, saya harap penjelasan dia bagus supaya kita boleh terus sokong dia.

"Oleh kerana dia tak datang dan menjelaskan (1MDB), saya tak boleh sokong dia," jelasnya.

Ketika ditanya jika Dr Mahathir diberi peluang sekali lagi untuk bersemuka dengan Najib secara berdebat, beliau berkata, ia peluang terbaik kepadanya.

"Kalau saya diberi peluang (debat), saya amat berbesar hati," katanya lagi. - SH

No comments:

Post a Comment