BERATUR panjang dan cukup meriah! Demikian suasana yang
dapat disaksikan di Masjid Seksyen 7 Shah Alam yang buat pertama kali
menjadi tumpuan kira-kira 1,000 jemaah setiap hari sepanjang bulan
Ramadan untuk menyertai majlis berbuka puasa anjuran masjid tersebut.
Pengerusi program iftar Masjid Seksyen 7, Muhammad Tarmizi Abd Karim
berkata, Masjid Seksyen 7 membelanjakan hampir RM15,000 sehari untuk
menyediakan juadah berbuka dan moreh dengan menggunakan khidmat tiga
katerer berbeza sepanjang Ramadan ini hasil sumbangan orang ramai.
“Pada awalnya kami merancang hanya sekitar RM4,000 untuk 300 orang
sahaja. Tapi sudah berubah. Tidak sangka program ini dapat sambutan.
“Kos sehari untuk berbuka puasa dan moreh mencecah RM15,000 dengan tiga
katerer yang berbeza untuk sebulan ini. Menu pula pelbagai,” katanya
kepada Sinar Online ketika ditemui di Masjid Seksyen 7, semalam.
Malah katanya, majlis berbuka di situ juga turut menerima tetamu bukan
Islam untuk menyertai iftar yang disediakan bersama-sama.
“Ini adalah kali pertama Masjid Seksyen 7 mengadakan program berbuka
bersama ini. Pada hari pertama, kira-kira 1,500 jemaah datang, sampaikan
ada jemaah di luar kawasan masjid.
“Manakala purata setiap hari kami menerima hampir 1,000 jemaah yang
terdiri daripada keluarga, individu dan sebahagian besarnya adalah
pelajar. Sekurang-kurangnya dapat bantu mengurangkan perbelanjaan mereka
pada Ramadan ini.
“Setiap hari suasana di sini memang sangat meriah malah pada minggu
lalu ada juga golongan bukan Islam yang menyertai berbuka di sini sebab
kita memang jemput supaya dapat menyalurkan kemesraan antara kita,”
katanya.
Tinjauan Sinar Online mendapati petugas sudah mula menghamparkan tikar
di sekitar masjid untuk orang ramai yang akan membanjiri pekarangan
Masjid Seksyen 7 menjelang waktu berbuka sekitar 6.15 petang.
Manakala pihak katerer pula sudah sibuk menguruskan makanan yang
disediakan secara bufet itu sebelum ia ‘diserbu’ jemaah yang datang.
“Kalau lihat di sini, kira-kira jam 6.30 petang orang ramai akan
beratur untuk mengambil makanan dan kita menyediakan tikar-tikar di luar
masjid termasuk kerusi yang boleh menempatkan 400 tetamu di bawah
khemah.
“Kami ada 20 pekerja yang diupah untuk membantu melancarkan segala proses sebelum dan selepas berbuka,” katanya.
Dalam pada itu, Masjid Seksyen 7 menerima infaq daripada orang ramai
termasuk sektor swasta, ahli korporat dan individu dan pihaknya masih
mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk dihulurkan ke Masjid Seksyen
7.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun
Maybank Islamic, 569981105040 atas nama Masjid Seksyen 7 Shah Alam. - SH
No comments:
Post a Comment