04 June 2015

Menang atau kalah, dua-dua pun boleh terus khidmat

PENDIRIAN Pas tidak akan berganjak untuk terus membela nasib orang Melayu dan Islam.

Muktamar Pas kali ini juga diharap dapat memberi peluang kepada ahli fokus isu rakyat dan memberi tempoh bertenang kepada rakan  partinya, DAP yang dikatakan banyak memberi kritikan sehingga PR dikatakan sedang bergolak.


Ikuti temubual Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang, Aswany Omar bersama Naib Presiden Pas, DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN berkaitan beberapa perkara membabitkan sekutunya, PR dan beberapa isu berkaitan Pas.

Datuk bakal menentang Mohamad Sabu (Mat Sabu) untuk kedudukan nombor dua parti pada pemilihan kali ini. Apa yang Datuk harapkan pada pemilihan kali ini.

Sudah tiga penggal saya dicalonkan, tetapi saya tolak dan kali ini saya terima. Tapi ahli-ahli parti perlu pilih yang terbaik yang yakin boleh beri sumbangan.

Bagi saya, Pas mesti kuat. DAP sudah mencapai tahap maksima dan bebanan terletak pada pada Pas dan Pas mesti mendapat undi Melayu. Sekarang orang Melayu yang melihat Pas lebih tegas hari ini menjadikan peningkatan ahli Pas lebih 100 peratus di kawasan Felda dan kampung.


Boleh Datuk jelaskan apa yang berlaku dalam Pas ketika ini hingga ada yang menyatakan berlaku kemelut dalaman Pas membabitkan kumpulan pro Ulama dan kumpulan Profesional?

Itu memang tidak betul kerana bagi saya, beberapa usaha cuba menggambarkan Pas dalam dua kumpulan seperti yang berlaku sebelum ini, cuba membawa pas supaya dilihat  tidak cenderung kepada Pas dan cenderung kepada PKR.

Muktamar Pas kali dilihat bakal mencipta sejarah tersendiri dalam kepimpinan Pas, Apa yang Datuk harapkan pada pemilihan kali ini.

Saya harapkan kali ini seluruh perwakilan menghormati dan memelihara akhlak  dalam Pas, tidak timbulkan polemik dan jangan ada yang bertindak memboikot atau memulau ucapan daripada siapa sekali pun kerana kepimpinan itu adalah yang dipilih oleh muktamar lalu, Jangan juga ada kumpulan yang mengapi-apikan, provokasi atau ejekan.

Bagi saya menang, pegang jawatan dan yang  kalah bukan bererti dia dikalahkan. Dalam Pas, dipilih atau tidak dipilih, parti tetap memberi peluang untuk menyumbang kepada parti.

Hubungan Pas dengan DAP dilihat semakin renggang terutamanya melibatkan isu hudud yang mendapat tentangan hebat DAP.

Kita mengadakan mesyuarat akhir Majlis Pimpinan PR beberapa hari sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara.

Selepas itu, tiada lagi mesyuarat pimpinan, tapi mesyuarat di peringkat negeri berjalan macam biasa. Hubungan dengan DAP kritikal terutama apabila pimpinan tertinggi DAP sering kali mengkritik Presiden (Abdul Hadi) secara profesional dan mempertikaikan perkara yang kita anggap campur tangan dalam dasar dan polisi Pas.

Bagi saya, kita tak boleh terima pihak luar yang mengkritik Presiden sebab semua ahli Pas memang mendukung kepimpinan Presiden. Saya tegur tindakan DAP kerana tidak membantu memperkukuhkan PR.


Mohamad Sabu baru-baru ini mengkritik kepimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka. Apa pandangan Datuk terhadap tindakan beliau itu?

Saya dapat maklumat, apa yang dilaporkan dalam media itu tidak betul. Dia sebut bahawa hasil muafakat kita berjaya menang. Pandangan dia, dalam konteks muafakat bersama.

Katanya, walaupun hebat, tapi gagal, maksudnya kita berjaya hasil muafakat dan ini normal. Mungkin beliau akan ambil tindakan undang-undang kepada media terbabit kerana memutarbelitkan kenyataannya. Ada tegurannya dianggap sinis yang boleh diinterpretasikan oleh media. Sebenarnya ‘double meaning’ ni boleh dianggap macam-macam oleh orang lain.


Tindakan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng secara terbuka mengkritik Presiden Pas hingga mengakibatkan kepimpinan Pas serta ahli pas tidak berpuas hati dengan tindakan itu, apakah pandangan Datuk?

Pertama kita lihat isu yang berlaku di Selangor yang mungkin menjadi pencetus kepada polemik sekarang, kemudian sambung lagi isu hudud dan pilihan raya tempatan (pilihan raya kecil) di Penang yang ditolak Pas dan pergolakan makin panjang.

Ketegasan Presiden Pas dianggap sebagai  menyusahkan, tapi bagi saya, beliau (presiden) bertindak atas prinsip Pas dan bukan berjuang secara peribadi dan bukan membela ahli keluarga atau diri sendiri. itu yang perlu kita hormati.

Pas mengambil masa berapa lama lagi untuk bersama DAP jika parti itu terus mengkritik.

Yang membabitkan dasar, kita serah pada Majlis Syura dan Jawatankuasa Ulama untuk melihat. Kalau dia (DAP) ambil sikap tidak boleh kerjasama dengan Pas, kita perlu ada satu pendirian sebab Pas pun ditendang keluar PKR dan DAP di Sabah dan Sarawak, tapi Pas masih sabar dan kita akan bergerak sendirian.

Sekiranya Datuk terpilih, bagaimana Datuk mahu selesaikan kemelut dalaman Pas serta kemelut yang sedang melanda Pas dan DAP.

Saya tidak mahu berjanji perkara yang besar kerana tidak mungkin boleh berjaya tanpa dukungan dari seluruh ahli. Untuk satukan Pas sama ada ulama atau profesional, perlu balik pada akhlak Islam dan satukan semula pemikiran kita.

Lagipun pengaruh media baharu tidak boleh dikawal dan telah pecah belahkan gerakan Islam dunia. Saya ambil sebagai satu cabaran untuk eratkan ukhuwah dalam kalangan ahli.

Selepas muktamar, kita boleh himpunkan semua ahli dan adakan program di peringkat kawasan dan negeri. Dalam PR pula, kita perlu tempoh bertenang untuk masing-masing perkukuhkan parti atau baiki kelemahan yang ada sebelum pilihan raya umum depan.

Kita kekalkan jawatankuasa yang ada dan peringkat pimpinan, perlu perbetulkan sikap.... tiada masalah, kita boleh duduk semeja. Tapi kalau orang kritik dan hentam kita dan kata macam-macam, saya fikir, semua orang tidak akan sanggup.

Pas dilihat mampu menggantikan Umno sebagai kuasa orang Melayu dan Islam dalam pentadbiran negara sekiranya kepercayaan rakyat terhadap Umno terus hilang, apa pandangan Datuk dan apa yang Pas akan laksanakan ketika itu.

Memang masa depan orang Melayu dilihat pada Pas dan bukan pada Umno. Umno dilihat parti yang berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air, tapi hari ini orang dah tak bercakap perkara itu. Harapan masyarakat yang berfikir memang pada Pas.

Kita harap, Pas dapat ambil peranan membela hak dan nasib orang Melayu. Bagi Pas, apabila akidah selamat akan selamat ekonomi, politik dan undang-undang. - SH

No comments:

Post a Comment