03 June 2015

'Kerjasama tiada kebaikan faham-faham sajalah...'

Musyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang diputuskan sebagai wasilah untuk memastikan nilai, dasar dan hukum Islam ditegakkan demi keredaan Allah.


Menurutnya lagi, kerjasama itu perlu mendorong kepada maslahah (kebaikan) dan bukan mafsadah (keburukan) seperti permusuhan, kritikan yang memecah belah parti dan campur tangan pihak tertentu.

"Tahaluf siyasi bukan janji. Tahaluf sekarang ini adalah tahaluf siyasi ta'awun lil-maslahah (kerjasama politik untuk mencapai kebaikan). Jika tidak ada maslahah, faham-faham sajalah.

"Kalau ada maslahah, kita pakai. Kalau berlaku mafsadah seperti permusuhan, kritikan pecah belah, campur tangan, kita kena rujuk kepada Al-Quran," katanya sambil membaca sepotong ayat Al-Quran.

"Oleh itu, saya menggesa ahli, ahli syura, dan ulama PAS yang menyayangi PAS beriltizam untuk mempertahankan PAS di tengah-tengah tentangan segenap penjuru," katanya sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS di Gombak pagi ini.

Kuasa penuh Majlis Syura

Sebelum itu dalam ucapannya, Haron menyenaraikan enam garis tahaluf siyasi yang perlu difahami dan dipegang selepas diputuskan.

Antaranya, kerjasama tersebut harus dijadikan wasilah menegakkan Islam, dan membuka ruang pelaksanaan hukum Islam.

Dengan kerjasama itu juga, ia dapat memastikan Islam dipertahankan, kata Haron lagi.

"Ketaatan hendaklah diberikan kepada kepimpinan PAS bukan kepada parti lain dalam bertahaluf.

"Ia juga menjadi ruang medan dakwah.

“Dan yang terakhir Majlis Syura Ulama mempunyai kuasa penuh membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi sama ada terdapat maslahah atau mafsadah dari semasa ke semasa," katanya. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment