04 June 2015

Kena tanya DAP kenapa tak hadir muktamar – Presiden PAS

“PAS menjemput pemimpin kedua-dua parti (PKR dan DAP) di bawah Pakatan Rakyat.”



Itu kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya mengenai tiada pimpinan DAP yang hadir pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini hari ini.

Pada muktamar itu, yang hadir hanya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

“Terpulanglah kepada DAP, kena tanya DAP… namun kita jemput semua untuk hadir memeriahkan muktamar,” kata Hadi kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-61.

Semalam, Dewan Ulama PAS Pusat meluluskan usul tergemparnya bagi PAS memutuskan hubungannya dengan DAP tetapi masih lagi meneruskan kerjasama dengan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Usul itu dibuat ekoran tindakan DAP yang lantang menentang dasar yang diperjuangkan PAS seperti pelaksanaan hukum hudud dan mengutuk serta memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika ditemui selepas perasmian muktamar menyifatkan usul tergempar bagi memutuskan hubungan dengan parti DAP hanya usul Dewan Ulama PAS sahaja.

Kata Azmin, apa yang penting adalah memberi tumpuan kepada ucapan dasar Presiden PAS yang menegaskan kepada anggota-anggota dan pemimpin-pemimpin parti mempertahankan Pakatan Rakyat (PR) melalui prinsip tahaluf siyasi.

“Itu usul satu Dewan, kita ada tiga Dewan dalam PAS.

“Mengapa tidak ditumpukan ucapan dasar Presiden dalam muktamar utama sementara kita menghormati pandangan yang dibuat ketiga-tiga Dewan, sama ada Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama.

“Itu sebahagian proses demokrasi dalam sesebuah parti, kita kena hormat pandangan dan usul yang telah dibentangkan tetapi akhirnya ucapan Presiden sebagai ketua parti ianya akan mencorakkan hala tuju dan PR.

“Ini harus dilhat secara positif dan bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Azmin, semua pihak perlu berlaku adil kepada Abdul Hadi yang telah menegaskan berulangkali menunjukkan komitmennya untuk meneruskan perjuangan melalui Pakatan Rakyat. -TRPost

No comments:

Post a Comment