KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(Cuepacs) akan menghantar memorandum bantahan terhadap cadangan
pembekuan pengambilan kakitangan dan pewujudan jawatan baru dalam sektor
awam dalam masa terdekat.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata, tindakan itu perlu kerana cadangan
kerajaan itu dikhuatiri akan memberi kesan besar terhadap graduan
universiti yang baru menamatkan pelajaran selain menambah masalah
kekurangan kakitangan yang berkhidmat dalam sesuatu sektor.
"Penjawat awam di negara ini tidak seperti negara-negara lain yang
mengkelaskan perkhidmatan wajib iaitu pendidikan, tentera, polis dan
kesihatan di luar sektor awam.
"Di negara ini, kita campur semua sekali, sebab itu dilihat ramai.
Tetapi (hakikatnya) kalau kita pergi sesuatu tempat (sektor perkhidmatan
awam), ada yang mengadu, sana tak cukup kakitangan, sini tak cukup
kakitangan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kongres
Cuepacs di sini, semalam.
Azih berkata, jumlah penjawat awam di negara ini hanya kira-kira 500,000 sahaja.
Kerajaan sebelum ini telah mengeluarkan arahan pembekuan pengambilan
kakitangan dan pewujudan jawatan baru bagi semua kementerian, jabatan
dan agensi berkuat kuasa 22 April lepas.
Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri
Mahmood Adam sebelum ini dilaporkan berkata, jawatan kritikal dalam
kerajaan masih terbuka kepada pengambilan baru.
Dalam pada itu, Azih turut mengulangi gesaan supaya kerajaan
mempercepat penambahbaikan terhadap 252 skim perkhidmatan awam seperti
yang diluluskan dalam Bajet 2015.
Kerajaan katanya diharap segera mempertimbangkan skim itu bagi
memastikan ia tidak melewati Bajet 2016 yang dijangka dibentangkan pada
Oktober tahun ini.
"Kalau dimasukkan perbentangan bajet akan datang, bermakna ia untuk
tahun 2016, sedangkan kami nakkan pelaksanaan penambahbaikan kepada 252
skim ini dikuat kuasa mulai Januari 2015.
"Kami bimbang kerana ramai penjawat awam yang mungkin bersara tanpa merasai perubahan dalam skim perkhidmatan mereka," katanya.
Beliau berkata, antara kandungan 252 skim tersebut adalah berkaitan
kemajuan kerjaya dan pembangunan dalam skim perkhidmatan yang antara
lain menetapkan bahawa tidak ada lagi gaji di bawah paras kemiskinan. -
Bernama
No comments:
Post a Comment