Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau
tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan yang mahukan beliau meletak
jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno.
Beliau berkata selagi rakyat menyokong beliau untuk menerajui kepimpinan
negara sebagai perdana menteri dan anggota Umno terus teguh
menyokongnya sebagai presiden parti maka beliau akan tidak akan
berganjak daripada jawatan yang disandangnya sekarang.
"Saya cuma tunduk kepada (desakan) ahli parti dan rakyat sahaja. Selagi
ahli parti sokong saya, selagi rakyat memberi kepercayaan, saya akan
tetap meneruskan perjuangan saya," katanya ketika berucap di hadapan
kira-kira 40,000 orang yang hadir pada program Solidariti Rakyat Sabah
bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Padang Perbandaran
Tawau di Tawau hari ini.
Penegasan Najib itu yang dinyatakan dengan suara lantang mendapat
tepukan dan sorakan daripada hadirin yang membanjiri Padang Perbandaran
Tawau sehingga melimpah ke kawasan jalan raya, disertai paluan gendang.
Beliau menegaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno
diperolehinya secara proses demokrasi dan ditentukan oleh rakyat dan
anggota Umno dari seluruh negara iaitu dari Padang Besar di Perlis
hingga ke Pulau Sebatik, di Tawau Sabah.
Ini merupakan kali pertama Najib menjawab secara terbuka dan lantang
desakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar beliau
meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno.
Najib yang ingin mendengar sendiri suara sokongan hadirin dengan
melaungkan "rakyat Sabah sokong" sebanyak tiga kali telah disambut
dengan sorakan gemuruh hadirin, "Najib, Najib, Najib".
Baca falsafah Bugis
Menegaskan pendirian kukuhnya, Perdana Menteri sempat membacakan
falsafah Bugis yang berbunyi 'Kendati tergantung awan di langit. Telah
terlanjur ku bentang layar. Walau badai datang menggunung. Walau
berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, tak kan mungkin ku
berbalik haluan'.
Najib berkata beliau mendapat mendengar sokongan padu dan gemuruh
daripada hadiri pada majlis di Tawau dan juga di Kota Belud ketika
menghadiri program perasmian Projek Perumahan Rakyat di daerah berkenaan
awal hari ini serta suara rakyat yang telah memberi mandat kepadanya
untuk memerintah negara.
"Takkan satu suara (Dr Mahathir) lebih besar daripada suara yang
didengari daripada para hadirin di sini dan di Kota Belud dan mandat
diterima daripada seluruh negara," katanya.
Katanya setiap pemimpin termasuk beliau pernah menempuh ujian dan tidak
terkecuali Dr Mahathir yang menghadapi lebih banyak ujian ketika
menerajui pucuk pimpinan negara selama 22 tahun.
"Mana tak ada ujian. Ujian Team A, Team B (dalam pemilihan UMNO, Dr
Mahathir) hampir kalah. Hampir 50 peratus ahli UMNO suruh dia letak
jawatan. Tapi apa dia jawab, 'walaupun saya menang satu undi, saya akan
tetap terus menjadi Perdana Menteri'. Oh hebat dia jawab.
"1987, saya antara yang menyokong dia. Dia (Dr Mahathir) kekal menjadi
Perdana Menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam
susah kita beri sokongan dia kekal. Kalau kita sokong pemimpin
menghadapi ujian, Dr Mahathir tidak boleh kekal 22 tahun menjadi Perdana
Menteri", yang sekali lagi mendapat sorakan hadirin.
"Jadi, janganlah lupa, waktu dia (Dr Mahathir) jadi Perdana Menteri,
kita sokong dia penuh. Sekarang dia tidak jadi perdana menteri,
sokonglah pula. Kalau tak boleh sokong, janganlah bunyi sangat. Tapi tak
apa, jangan rosakan parti. Kita boleh terangkan (isu berkaitan
1Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya.
Jawapan Dr M berbelit-belit
Najib berkata kenyataan Dr Mahathir berhubung 1MDB kebelakangan ini
berbelit-belit, sekejap kata 1MDB hilang RM42 bilion selepas itu kata
pula tak hilang tetapi 1MDB berhutang RM42 bilion.
Beliau menegaskan kerajaan ada cara tersendiri untuk menyelesaikan isu 1MDB jika diberi tempoh.
Perdana Menteri menjelaskan ketika Tabung Haji membeli sekeping tanah
milik 1MDB ia adalah pelaburan dan bukannya 'bailout' 1MDB kerana Tabung
Haji boleh memperoleh keuntungan sehingga lebih RM170 juta melalui
pembelian itu namun disebabkan perkara itu dijadikan isu, beliau
menasihatkan Tabung Haji menjual tanah berkenaan.
Najib berkata melalui penjualan semula aset berkenaan, Tabung Haji boleh
untung sehingga RM5 hingga RM6 juta namun pada masa sama merugikan
pendeposit Tabung Haji sendiri kerana jika aset itu tetap milik Tabung
Haji, pendeposit boleh untung sehingga RM170 juta.
"Tetapi kerana isu sudah dipusing sebagai isu yang panas, orang kata
'you are shooting yourself at your foot', tembak kaki sendiri. Inilah
yang saya kata tidak rasional.
"Kita buat sesuatu untuk apa? Untuk kebaikan rakyat. Bagilah peluang.
Setiap perkara boleh kita selesaikan. Tetapi beri peluang kepada
pemimpin untuk menyelesaikan perkara itu," katanya.
Perdana Menteri berkata selepas menyaksikan sokongan padu diberikan
rakyat kepadanya seperti yang dapat dilihat pada perhimpunan hari ini,
beliau berazam untuk meneruskan perjuangan malah semangatnya kian
berkobar.
Turut hadir pada program itu ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah
Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, dua Timbalan Ketua
Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin
Kitingan, Menteri Belia dan Sukan Sabah yang juga Ketua UMNO Bahagian
Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Anggota Parlimen Kalabakan
Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.
-Bernama
No comments:
Post a Comment