12 May 2015

Mat Sabu setuju Najib perlu kekal supaya SPRM siasat

Bimbang dengan amalan menghentikan siasatan rasuah terhadap pemimpin negara yang sudah meletak jawatan, timbalan presiden PAS berkata Datuk Seri Najib Razak perlu kekal sehingga penggalnya berakhir supaya beliau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Di Malaysia, apabila seseorang itu sudah berhenti pihak SPRM juga berhenti menyiasatnya," kata Mohamad Sabu, mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak setuju dengan gesaan supaya perdana menteri berundur.

"Jadi di sini kewibawaan SPRM itu kita tak percaya. Sebab itu kita mahu beliau terus jadi PM," kata Mohamad, yang juga dikenali Mat Sabu, kepada The Malaysian Insider.

Hadi dipetik portal berita Mstar Online sebagai berkata, Najib yang akhir-akhir ini diserang hebat berikutan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak perlu meletak jawatan.

"Saya bersetuju dengan beliau (Najib) yang beliau tidak perlu meletakkan jawatan dan saya mesti katakan yang beliau seharusnya diberikan peluang untuk menghabiskan penggalnya." kata Hadi.

Semalam, Majlis Tertinggi Umno dilaporkan menyatakan sokongan kuat untuk Najib, selepas dikritik hebat berikutan pendedahan pembelian tanah oleh Lembaga Tabung Haji daripada 1MDB pada harga RM188.5 juta.

Menurut Mstar, Hadi berkata sia-sia mendesak perdana menteri meletak jawatan berhubung kontroversi 1MDB.

"Sesuatu yang memalukan apabila mendesak beliau supaya meletakkan jawatan kerana kita sepatutnya mengamalkan sistem demokrasi yang sihat.

"Ini bukan perkara baharu. Sebelum 1MDB, kita juga berhadapan dengan masalah Perwaja (Steel Sdn Bhd) dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), sekadar menyebut beberapa nama," katanya.

Mat Sabu berkata, beliau enggan melihat Najib menjadi seperti Yang Dipertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, yang kini tidak menghadapi sebarang dakwaan selepas melepaskan jawatan walaupun dikaitkan dengan pelbagai kontroversi sewaktu menjadi ketua menteri Sarawak.

"Kalau berhenti, dia (SPRM) akan buat tak tahu sahaja seperti di Sarawak, katanya.

"Rakyat Malaysia mesti bertindak seperti Korea Selatan yang mampu mengheret bekas-bekas presiden ke penjara," katanya kemudian dalam satu kenyataan berasingan.

Namun, Mat Sabu mencadangkan agar Najib membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya semula bagi mendapat mandat baru susulan kritikan bertubi-tubi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya.

"Skandal menyelamatkan 1MDB melalui penyelewengan Tabung Haji dan banyak lagi skandal kewangan yang berlaku dalam negara perlu dipertanggungjawabkan ke atas Najib sepenuhnya.

"Najib perlu segera membubarkan Parlimen dan dihakimi oleh rakyat," kata Mat Sabu dalam kenyataan itu.

"Kalau boleh kita minta dia bubar Parlimen dan adakan pilihan raya baru," katanya. - TMI

No comments:

Post a Comment