18 March 2015

Penceramah popular Kazim Elias akan bersara

Selepas terpalit dengan beberapa isu kontroversi termasuk dakwaan menggunakan riwayat palsu dalam ceramahnya, Datuk Kazim Elias membayangkan untuk bersara dalam tempoh terdekat, lapor Utusan Malaysia.

Menurut Utusan Malaysia, Kazim menyatakan mengenai persaraannya dalam satu program ceramah semalam dan dijangka mengumumkan keputusannya itu pada Khamis ini.

Kazim berkata, isu yang dihadapinya sejak menjadi pendakwah menyebabkan beliau hilang semangat untuk terus berceramah.

Menurut akhbar milik Umno itu, sebagai langkah awal, Kazim dikatakan sudah mula menolak beberapa jemputan menjadi tetamu beberapa program televisyen.

"Apa pun tunggu (pengumuman) Khamis ini," kata Kazim kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Kazim diheret dengan beberapa kontroversi seperti isu penyebaran surat daripada Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju dengan pemilihan beliau sebagai panel Forum Perdana.

Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin memberi alasan penolakan itu kerana Kazim sering kali dikaitkan ceramah yang menggunakan riwayat palsu.

Minggu lalu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menegur Kazim kerana menggunakan pendekatan jenaka dalam ceramah yang disifatkan sebagai penglipur lara.

Bagaimanapun menurut Utusan Malaysia, setakat ini beliau tidak menolak 100% undangan berceramah namun akan serius untuk berhenti selepas pembinaan bangunan tambahan di Pusat Pengajian Al-Barakah di Manjoi siap sepenuhnya.

Kazim berkata sekiranya beliau berhenti berceramah maka pusat pengajian yang diasaskannya itu hanya mampu bertahan selama 2 tahun saja.

"Bil elektrik untuk 1 blok asrama saja RM10,000 sebulan. Jika saya berhenti berceramah bagaimana saya hendak tampung kos keseluruhan pusat yang memerlukan sekurang-kurangnya RM150,000 sebulan.

"Pusat pendidikan ini tiada tajaan daripada sesiapa, jika ditutup bermakna hilanglah sekolah pondok yang berjaya naikkan nama Perak," katanya. - TMI

1 comment: