14 February 2015

MIC minta RoS tarik balik semua surat sebelum Selasa ini

Presiden MIC Datuk G Palanivel berkata tindakan undang-undang mungkin diambil sekiranya RoS tidak menarik balik suratnya. – Gambar fail The Malaysian Insider
Kemelut MIC bertambah hangat apabila presidennya, Datuk Seri G Palanivel hari ini mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pendaftar Pertubuhan (RoS) sekiranya badan itu tidak menarik balik semua arahan terhadap parti kaum India itu sebelum Selasa ini.

Surat arahan RoS supaya parti itu mengadakan semula pemilihan semua jawatan termasuk di peringkat cawangan dan bahagian adalah bercanggah dengan akta pertubuhan dan perlembagaan parti itu, katanya.

Palanivel berkata jika RoS gagal berbuat demikian, maka MIC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah bagi memperoleh keadilan untuk parti berusia 69 tahun itu.

"Saya tidak mempunyai pilihan, tetapi mendapatkan keadilan untuk MIC daripada mahkamah terhadap ketidakadilan RoS ini yang terang-terangan mengabaikan undang-undang.

"Semua surat termasuk surat yang dikeluarkan pada 5 Disember 2014, 31 Disember 2014 dan 5 Februari 2015 harus ditarik balik dengan kadar segera sebelum Selasa ini (17 Februari)," katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata keputusan itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional semalam oleh Setiausaha Agung Datuk S Sothinathan.

Beliau turut menegaskan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sementara yang diadakan semalam di Kuala Lumpur, adalah tidak sah.

Palanivel mendakwa empat wakil RoS hadir di mesyuarat itu dan menurutnya ini juga tidak sepatutnya berlaku.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya pelantikan Sothinathan selaku Setiausaha Agung parti itu tidak sah kerana menurut artikel 46.5 dan 49 perlembagaan parti : "Presiden mempunyai kuasa untuk lantik sembilan CWC, setiausaha agung dan bendahari agung".

Ketika ditanya mengenai pemilihan semula parti itu, beliau berkata ia akan diputuskan selepas hari Selasa ini dan "akan menunggu keputusan mahkamah".

Bagaimanapun apabila ditanya pemberita, Palanivel yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata akan mempertahankan jawatan presidennya dalam pemilihan semula parti itu.

Turut hadir Sothinathan dan Bendahari Agung Datuk S Murugesan.

Pada 9 Februari lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti komponen Barisan Nasional itu perlu mengadakan pilihan raya baharu untuk semua jawatan yang dipilih, antara April dan Julai tahun ini untuk mengelak daripada dibatalkan pendaftarannya.

Krisis itu timbul selepas RoS membatalkan pemilihan tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan CWC pada pemilihan agung parti yang diadakan di Melaka pada November 2013 berikutan aduan penyelewengan.

Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula untuk jawatan itu dalam tempoh 90 hari.

Surat tersebut mencetuskan pelbagai konflik dalam kalangan anggota parti sehingga ke hari ini. -- Bernama

No comments:

Post a Comment