21 February 2015

Dewan Ulama lancar ‘perang’ terhadap PasMa

Dewan Ulama PAS hari ini melancarkan “perang” terhadap Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), menggesa Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana pemimpin dan ahlinya yang terlibat dalam gerakan itu.

Pemangku Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yakob berkata, PasMa secara terang-terangan masih bergiat aktif sedangkan Majlis Syura Ulama sendiri mengeluarkan arahan agar ahlinya tidak terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

"Ini jelas satu usaha merosakkan PAS dan menghancurkan dari dalam serta memecahbelahkan PAS.

"Ini dapat disaksikan apabila banyaknya kenyataan ahli PasMa jelas menyerang dan melanggar dasar PAS, bahkan lebih teruk lagi mereka mengeluarkan kata-kata menghina presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya pada ucaptama di Multaqa Ulama Semalaysia II di Serdang, Selangor hari ini.

Beliau juga mengingatkan yang sebarang pelanggaran terhadap arahan Majlis Syura Ulama dan keputusan presiden merupakan satu kesalahan mandatori dalam undang-undang PAS.

Ia menjadi satu kesalahan walau apa alasan dan sebab yang diberikan serta siapa pun yang terlibat melakukannya, tanpa mengira jawatan yang disandangnya, kata Ahmad yang juga menteri besar Kelantan.

Katanya, keputusan Majlis Syura Ulama dan presiden agar ahli PAS menjauhi PasMa dan tidak terlibat dengan segala aktiviti mereka mempunyai banyak asas.

"Antaranya ialah, wujud aliran pemikiran songsang dalam individu yang terlibat dengan PasMa, yang bersetuju dengan ajaran liberalisme atau Islam liberal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada kira-kira 1,000 perwakilan yang menghadiri multaqa sehari anjuran Dewan Ulama PAS itu yang bagaimanapun tidak dihadiri presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Antara lain, beliau juga turut membidas satu pakatan yang mendakwa terdapatnya gerakan dalaman untuk menjatuhkan presiden terdiri daripada kalangan pemimpin PAS Pusat serta ahli jawatankuasanya (AJK).

"Sekiranya benar dakwaan tersebut, Dewan Ulama PAS meminta kepada pihak yang membuat dakwaan supaya membuat laporan displin bagi memastikan isu tersebut tidak berlarutan dan berpanjangan.

"Satu siasatan dalaman boleh dilakukan. Sekiranya tiada laporan displin dibuat, ia akan mengundang budaya tuduh menuduh tidak berkesudahan," katanya.

Pada 8 Februari, sekumpulan ahli PAS menganjurkan perhimpunan di hadapan ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, mendakwa Pengarah Pilihan Raya Dr Mohd Hatta Ramli menjadi dalang kepada usaha menggulingkan Hadi.

Menuntut peletakan jawatan Dr Hatta yang juga ahli Parlimen Kuala Krai, kumpulan yang diketuai Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim itu membuktikan dakwaan mereka melalui satu akuan berkanun dan cetakan paparan skrin telefon daripada WhatsApp.

Ahmad hari ini turut menggesa Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Displin menyegerakan siasatan mengenai dakwaan tersebut.

"Ataupun ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang bukan dianggotai AJK PAS Pusat untuk menyiasat berkenaan laporan dakwaan tersebut sama ada benar atau sebaliknya.

"Pihak kami memandang serius terhadap dakwaan tersebut kerana ia melibatkan persoalan wala' dan akhlak yang boleh merosakkan imej parti berasaskan Islam," katanya.

Selain itu, beliau turut menegaskan, kerajaan Kelantan tetap akan melaksanakan hukum hudud pada tahun ini meskipun ada pihak yang memainkan sentimen tidak puas hati.

"Ini tidak lain hanya kerana pemikiran liberal yang merosakkan akidah semakin menular di kalangan ahli PAS yang menyokong PasMa, dan mereka sanggup memberikan wala' (kesetiaan) mereka kepada pemimpin parti lain, tetapi tidak kepada Presiden PAS," katanya.

Pada masa sama, Ahmad memberi amaran, meskipun konsep tahaluf siyasi diamalkan sesama parti komponen Pakatan Rakyat, namun ia tidak boleh membelakangkan parti itu sendiri.

"Perlu diingat oleh ahli PAS, di kala kita bertahaluf, jangan sampai ada berlaku wala' kepada rakan tahaluf. Kita bekerjasama untuk mencapai tujuan disepakati, tanpa mengenepikan dasar PAS," katanya.

Semalam, dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di Facebook miliknya, Hadi mengingatkan ahli parti supaya tidak mengkhianati parti atau melakukan sesuatu yang merugikan parti.

"Kesetiaan ialah menghindarkan diri daripada melakukan kerja-kerja yang merugikan jemaah, berkhidmat kepada pihak yang lain lebih daripada jemaah, atau pun khianat kepada jemaah.

"Ini merupakan hal-hal yang sangat penting apabila kita melakukan bai'ah (perjanjian) kepada kumpulan Islam," kata Hadi sambil menjelaskan yang dimaksudkan dengan jemaah itu ialah satu kumpulan Islam, dan dalam konteks Malaysia, ia merujuk kepada PAS. - TMI

No comments:

Post a Comment