15 February 2015

Datuk Rugi RM500,000 Banglo Dirompak Di George Town

GEORGE TOWN, 14 Feb (Bernama) -- Seorang pengurus syarikat hartanah bergelar Datuk kerugian hampir RM500,000 selepas banglo dua tingkat miliknya di Taman Jesselton di sini dimasuki empat perompak awal Sabtu.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada 3.20 pagi itu, suspek menyelinap masuk menerusi pintu belakang yang diumpil sebelum masuk ke dalam bilik yang menempatkan dua pembantu rumah di tingkat bawah dan mengikat mereka.

"Suspek turut mengikat anak mangsa menggunakan wayar telefon dan membawa kesemua mereka ke bilik tidur datuk berkenaan. Isteri mangsa tidak tahu mengenai perkara itu kerana tidur di bilik lain," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata mangsa berusia 56 tahun itu turut diikat menggunakan wayar telefon dan pengecas telefon bimbit selepas dipaksa membuka peti simpanan keselamatan yang terdapat di dalam bilik itu dan mengambil wang berjumlah kira-kira RM300,000.


Katanya suspek yang memakai penutup muka dan sarung tangan kain kemudiannya menggeledah bilik berkenaan dan melarikan lima jam tangan berjenama serta telefon bimbit yang dianggar bernilai RM200,000.

Beliau berkata suspek yang bersenjatakan pisau yang diambil dari banglo itu turut mengugut mangsa supaya tidak melawan ketika kejadian.

"Keempat-empat lelaki terbabit dipercayai rakyat Indonesia berdasarkan cara percakapannya dengan seorang daripada mereka bertubuh sasa, seorang bertubuh kurus dan dua lagi bertubuh sederhana," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Abdul Rahman Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

"Unit Anjing Pengesan K9 dan forensik telah dihantar ke lokasi kejadian dan polis akan turut meneliti rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di kediaman mangsa untuk siasatan lanjut," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment