13 February 2015

Anwar mohon penjara benarkan ke pengebumian Nik Aziz

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon kepada pihak berkuasa penjara untuk membenarkannya hadir  ke majlis pengebumian bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang akan diadakan di Kota Baru, Kelantan hari ini, kata Peguam PKR Latheefa Koya.

Latheefa berkata, setakat ini pihak berkuasa Penjara Sungai Buloh – tempat Anwar ditahan sejak Selasa selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara dijatuhkan Mahkamah Rayuan kerana didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008 masih belum memberikan sebarang jawapan.

"Kami masih menunggu jawapan daripada pihak penjara," kata Latheefa kepada The Malaysian Insider.

Sewaktu dipenjarakan kali pertama dulu, pihak penjara pernah benarkan Anwar keluar untuk menghadiri pengebumian ibunya dan perkahwinan Nurul Izzah.

Nik Aziz meninggal dunia di rumahnya pada pukul 9.45 malam tadi di Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan selepas dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Latheefa memberitahu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya dibenarkan melawat suaminya buat pertama kali sejak Selasa lalu pada pukul 2.00 petang hari ini.

"Jika penjara tidak benarkan Anwar ke Kota Baru, isterinya juga mungkin tidak dapat menghadiri ke pengebumian Nik Aziz hari ini kerana waktu yang singkat sebelum lawatan pertamanya," kata Latheefa yang bertemu dengan Anwar di Penjara Sungai Buloh semalam bersama beberapa peguam lain.

Nik Aziz meninggal dunia akibat kanser prostat di kediamannya di Pulau Melaka, di Kota Baru, pada pukul 9.40 malam tadi.

Selain Anwar, mursyidul am PAS itu turut dilihat sebagai tokoh yang mampu menyatukan Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong memberitahu The Malaysian Insider, Nik Aziz menyelamatkan PR apabila berjaya menghalang cubaan membentuk kerajaan perpaduan Umno-PAS di Selangor selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Pengarah pendidikan politik DAP itu berkata, kini juga tiba masanya untuk parti pembangkang itu kembali sehaluan.

"Nik Aziz merupakan lelaki yang bijak. Jelas dalam tindakannya. Beliau menyelamatkan Pakatan pada 2008 selepas terdapat cubaan membentuk kerajaan perpaduan di Selangor.

"Ini minggu yang amat menyedihkan untuk Pakatan dan ada keperluan untuk bertindak sehaluan," katanya, ketika ditemui The Malaysian Insider selepas sebuah forum di Petaling Jaya lewat malam tadi.

Anwar dipenjarakan selama lima tahun selepas gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas yang mensabitkannya bersalah kerana meliwat Saiful. - TMI

No comments:

Post a Comment