KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju pembayaran bonus sebanyak setengah
bulan gaji atau minimum RM500 kepada penjawat awam dan bantuan khas
RM250 kepada pesara kerajaan diawalkan iaitu pada 15 Januari ini.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
berkata, keputusan itu berikutan kerajaan prihatin dan memahami situasi
semasa terutama sekali penjawat awam yang terlibat dalam bencana banjir.
"Kerajaan berharap pemberian ini (pembayaran awal bonus) dapat
meringankan beban penjawat awam akibat banjir serta membantu persediaan
persekolahan anak-anak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Banjir yang berlaku di beberapa negeri sejak pertengahan Disember lalu
mengakibatkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dengan angka semasa
menunjukkan sejumlah 41,421 orang masih ditempatkan di pusat-pusat
pemindahan.
Dalam pembentangan Bajet 2015 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian bonus itu yang sebelum
ini dijadualkan dibayar kepada penjawat awam bersekali dengan gaji bulan
Januari 2015. - Bernama
No comments:
Post a Comment